ANGGOTA perubatan Israel mengangkat mayat remaja berusia 16 tahun yang mati ditembak.
AP

Baitulmaqdis: Tiga lagi penduduk Palestin termasuk remaja berusia 16 tahun dan seorang wanita mati ditembak dalam kejadian berasingan, semalam.

Dalam kejadian pertama, polis menembak remaja berusia 16 tahun itu selepas dikatakan mengeluarkan pisau untuk menikam mereka di Baitulmaqdis.

Jurucakap polis Luba Samri berkata, remaja itu mengeluarkan pisau selepas diminta memberikan pengenalan diri apabila dilihat bersikap mencurigakan.

Kejadian kedua berlaku di Hebron apabila seorang lelaki ditembak mati seorang lelaki Yahudi kerana dikatakan mempertahankan diri daripada ditikam.

Sementara itu, juga di Hebron, seorang wanita Palestin ditembak mati ketika didakwa cuba menikam seorang tentera Israel wanita.

Sejak bulan lalu, lapan orang Israel terbunuh dalam serangan Palestin yang kebanyakannya menggunakan pisau.

Pada masa sama, 33 penduduk Palestin ditembak mati termasuk 16 yang didakwa pasukan keselamatan Israel sebagai penyerang, manakala yang lain mati dalam pertempuran dengan tentera Yahudi.

Kebanyakan serangan terhadap orang Israel - yang berlaku setiap hari sejak sebulan lalu - dilaksanakan penduduk Palestin yang tiada kaitan dengan kumpulan militan.

Keadaan semakin tegang sejak sebulan lalu ketika sambutan tahun baru Yahudi apabila khabar angin mengatakan Israel merancang menawan Masjid Al-Aqsa.

Israel menafikan dakwaan itu, namun penduduk Palestin bimbang dengan peningkatan penganut Yahudi ke situ yang juga dipercayai melanggar perjanjian dengan beribadah di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 8:10 AM