ASAP tebal dilihat di satu kawasan kebakaran hutan di Ogan Komering Ilir, Sumatera Selatan kelmarin.
ASAP tebal dilihat di satu kawasan kebakaran hutan di Ogan Komering Ilir, Sumatera Selatan kelmarin.
Agensi

Pekanbaru: Beberapa wilayah di Indonesia kembali dilanda jerebu tebal selepas kawasan kebakaran hutan di Sumatera meningkat mendadak semalam.

Ketua Jabatan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Pekanbaru, Sugarin memberitahu, sebanyak 813 titik panas yang berpotensi mencetuskan kebakaran hutan dikesan di tujuh wilayah di Sumatera.

Katanya, sehingga jam 5 petang (waktu tempatan) titik panas yang paling banyak dikesan berpusat di Sumatera Selatan dengan 645 titik.

“Wilayah di Jambi dan Riau pula, titik panas meningkat mendadak.

“Di Jambi jumlah titik panas meningkat kepada 70 berbanding sehari sebelum itu hanya satu titik panas dikesan,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 49 titik panas dikesan di Riau dan daripada jumlah itu 39 titik dikesan sudah mencetuskan kebakaran hutan atau belukar.

Jumlah titik panas yang melonjak tiba-tiba itu menyebabkan beberapa wilayah di negara itu kembali dilanda jerebu tebal.

Di Pelalawan yang paling teruk terjejas, jerebu tebal menyebabkan jarak penglihatan di paras 400 meter.

Antara kawasan yang terjejas teruk termasuklah Rengat Indragiri Hulu, Pekanbaru dan Dumai dengan jarak penglihatan di paras antara 600 hingga 800 meter.

Jerebu tebal yang berlanjutan lebih dua bulan itu berpunca daripada pembakaran hutan untuk aktiviti pertanian.

Keadaan itu menyebabkan negara jiran termasuk Malaysia, Singapura dan sebahagian Thailand dilanda jerebu sehingga menyebabkan sekolah ditutup dan penerbangan tergendala.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 6:49 AM