TEATER Randai banyak memasukkan elemen caklempong.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Pusat Seni Pentas Tradisional Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) meneruskan siri persembahan Gema Seni Tradisional dengan membawa persembahan muzik caklempong dengan tajuk persembahan Garitik Gereteh di Dewan Orkestra, ASWARA, jam 8.30 malam Selasa ini.

Penyelaras akademik Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) ASWARA Kamarulzaman Taib berkata, bagi siri ketiga ini mereka menggabungkan dua tokoh caklempong iaitu Rahbeni Mutaal yang juga pengkaji dan adiguru caklempong ASWARA bersama Yuzaimuddin Md Yusof, seorang penggiat caklempong yang berpengalaman lebih 30 tahun.

“Menurut Rahbeni, istilah garitik bermaksud teknik bermain menggunakan nada hiasan yang mencorak ritma dengan olahan kinestetik kedua-dua belah tangan. Gereteh pula satu alat dalam ensembel caklempong yang penting dalam menampilkan paten ritma ‘interlocking system’.

“Tajuk Garitik Gereteh mengungkap keindahan bermain caklempong yang sangat mementingkan kepandaian seseorang menggaritik sehingga menjadikannya tersendiri. Garitik Gereteh satu ungkapan yang menggambarkan suatu kesinambungan bunyi yang mengalir dari dalam tubuh pencinta caklempong, ia seolah-olah suatu luahan rasa yang tebal terhadap seni tradisi,” katanya.

Menurut Kamarulzaman, acara ini dipecahkan kepada dua segmen iaitu Citra Seni dan Persembahan apabila Citra Seni Caklempong Malaysia Satu Asimilasi akan berlangsung di Dewan Orkestra ASWARA yang menampilkan Rahbeni dan Yuzaimuddin pada jam 4 petang.

Menurutnya, persembahan Garitik Gereteh yang menampilkan Yuzaimuddin dan Kumpulan Sanggar Leluhur, Negeri Sembilan serta Kumpulan Caklempong ASWARA pula akan berlangsung di tempat yang sama pada jam 8.30 malam.

“Caklempong mempunyai enam tertib yang dimainkan mengikut teman tertentu iaitu caklempong pacik/paciak, caklempong & bangsi, caklempong & tari, caklempong & silat, caklempong & tumbuk kalang dan caklempong moden.

Kamarulzaman berkata, pengisian persembahan pada malam itu nanti adalah yang jarang dapat ditonton buat masa ini kerana kebiasaannya caklempong hanya mengisi majlis keramaian sekadar mempersembahkan lagu moden dan Minang.

“Sebagai mengangkat keistimewaan caklempong Malaysia, jenis persembahan dipilih dan disesuaikan dengan apa yang pernah dipersembahkan dalam masyarakat tempatan. Caklempong dan tumbuk kalang adalah jenis persembahan yang sangat jarang dipersembahkan sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 8:02 AM