SAVEA menyumbat try ketika berdepan Perancis.
SAVEA menyumbat try ketika berdepan Perancis.

Cardiff, Wales: Julian Savea menyumbat hatrik ketika New Zealand melakar kemenangan besar 62-13 ke atas Perancis sekali gus menempah pertembungan separuh akhir Ragbi Piala Dunia menentang Afrika Selatan.

Terdahulu Springboks dipaksa bekerja keras oleh Wales dengan kapten Fourie du Preez melakukan try lima minit sebelum tamat untuk meraih kemenangan tipis 23-19 di Twickenham.

New Zealand tampil pada perlawanan di Stadium Millennium, Cardiff berdepan harapan tinggi menggunung lawan mereka Perancis yang berhasrat mengulangi kejutan ke atas All Blacks pada suku akhir di stadium sama pada 2007.

Namun, juara bertahan itu mendominasi sejak awal dan mencatat rekod baru bagi jaringan dan jurang kemenangan pada suku akhir Piala Dunia.

Mereka menyumbat sembilan try secara keseluruhan dan Perancis dilanda tsunami All Blacks ketika mereka gagal meraih sebarang mata pada babak kedua. Louis Picamoles meraih try tunggal mereka pada babak pertama.

Kapten New Zealand, Richie McCaw mengumumkan dia “amat berbangga” dengan persembahan itu.

“Kami amat klinikal,” ujarnya menyatakan bagaimana All Blacks menekan sejak awal.

Selain tiga try Savea, Tawera Kerr-Barlow menyumbang dua try manakala Nehe Milner-Skudder, Brodie Retallick, Jerome Kaino serta Kieran Read satu try. Dan Carter menambah 17 mata menerusi sepakan penalti.

Savea kini pendahulu try kejohanan dengan lapan.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 8:38 AM