X
PESERTA melakukan aktiviti regangan dan senaman ringan di mesin pengisar injakan sebelum berlari.
PESERTA melakukan aktiviti regangan dan senaman ringan di mesin pengisar injakan sebelum berlari.
PESERTA bersiap mulakan larian.
PESERTA bersiap mulakan larian.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Wanita antara populasi tertinggi yang menghidap kanser dan mereka jugalah golongan yang kurang kesedaran mengenainya.

Mengejutkan, tetapi sememangnya wanita khususnya di negara ini kurang kesedaran mengenai penyakit itu hinggalah ia mengancam nyawa.

Selepas kanser payudara, kanser serviks atau pangkal rahim muncul di kedudukan teratas paling kerap dihidapi rakyat negara ini.

Penafian, tidak mahu ambil tahu dan percaya dirinya tidak dijangkiti menjadi antara faktor kepada kealpaan wanita dalam memperkasakan dirinya dengan pengetahuan serta pencegahan penyakit itu.

Pada masa sama, beberapa badan tertentu khususnya Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bergelut mencari dana tambahan untuk membantu lebih ramai pesakit kanser yang makin meningkat jumlahnya di negara ini.

Menurut Naib Presiden NCSM, Clare Ratnasingham, lebih 37,000 pesakit kanser dikenal pasti dan 21,000 meninggal dunia disebabkan penyakit itu.

“Gaya hidup yang tidak sihat dan tidak memberi penekanan kepada aspek kehidupan membuatkan makin ramai disahkan mempunyai kanser.

“Jumlahnya meningkat setiap tahun dan setiap kali itu juga kos bantuan untuk mereka bertambah hingga membebankan lalu memberi tekanan bukan saja kepada pesakit malah seluruh ahli keluarganya.

“Menerusi pelbagai program kesedaran dan kempen yang giat dijalankan ketika ini, diharapkan generasi muda memberi lebih perhatian kepada kesihatan mereka.

“Dengan cara itu mereka bukan saja mengenal pasti tahap kesihatan diri, tetapi turut berpeluang membantu individu di sekeliling mereka,” katanya.

Bagi meringankan bebanan pesakit kanser ini, Adidas berjaya mengumpul RM100,000 yang disumbangkan kepada NCSM menerusi acara ‘Running Man with a Cause’ yang berlangsung baru-baru ini.

Seiring dengan pelancaran produk terbaru iaitu rangkaian penjagaan anti peluh Climacool, Adidas berikrar menyumbang RM500 bagi setiap kilometer yang dilakukan peserta di atas mesin pengisar injakan (treadmill) sepanjang tiga jam acara berlangsung.

Lebih 500 peserta menyertainya dan majoriti berjaya mencatat larian melebihi lima kilometer.

Jelas Pengurus Besar Coty Inc Malaysia, Singapura dan Hong Kong, Damien Morot, acara yang diadakan ini sejajar dengan revolusi yang dibawakan Climacool.

“Revolusi teknologi Climacool mengandungi kapsul segar yang diaktifkan melalui gerakan. Semakin banyak pergerakan dilakukan sama ada bersenam atau aktiviti harian, juga geseran dan lembapan akan menyebabkan kapsul di dalamnya meletus lalu memberikan rangsangan baru untuk diri segar dalam tempoh lama.

“Idea yang sama juga kami cuba terapkan dalam acara ini apabila makin ramai yang melakukan larian jadi makin bertambahlah sumbangan mereka untuk pesakit kanser,” ujarnya.

Jumlah RM100,000 itu akan digunakan oleh NCSM untuk menggerakkan lagi kempen kesedaran dan menambah program pendidikan kanser khususnya di kawasan pedalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 11:38 AM