ILMAN memasang mesin sebelum sedia untuk digunakan.
ILMAN memasang mesin sebelum sedia untuk digunakan.
TIGA pelajar bersama dua pensyarah mereka.
TIGA pelajar bersama dua pensyarah mereka.

FATIN FARHANA JAPRE berkongsi kejayaan tiga pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah yang berjaya mencipta alat bantuan inovasi bagi mengutip sampah terapung di kawasan berair.

Pada majlis Anugerah Harta Intelek Negara baru-baru ini, tiga pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Mekatronik Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim Kedah iaitu Sheikh Mohamad Naim Sheikh Satir, 19; Muhammad Ilman Elhami Marzuki, 19, dan Nur Imanina Bakhtiar, 20 berserta dua pensyarah iaitu Firdaus Mohamed Sahid dan Syukrul Hassani Jamaludin dinobatkan menduduki tempat ketiga bagi projek inovasi ‘The Development and Application of Solar Energy System to Collect Floating Debris’.

Projek inovasi ini dikatakan mampu mengutip sampah terapung seberat 10 kilogram dengan jarak lingkungan 100 meter dalam masa 45 minit. Manakala untuk menggerakkannya hanya menggunakan sumber semula jadi tenaga matahari yang ditukar melalui panel solar.

Menurut penyelia projek, Firdaus Mohamed Sahid, idea untuk menghasilkan alat inovasi ini tercetus apabila mereka melihat tenaga manusia menggunakan perahu dan jejaring untuk memerangkap sampah di kawasan berair. Cara ini mengambil masa yang lama dan jumlah sampah yang dikutip juga sangat sedikit berbanding menggunakan alat bantuan inovasi ini.

“Robot ini sudah digunakan di Taman Tasik Putra, Kulim Kedah bagi mengurangkan masalah mengutip sampah di tasik itu dapat diatasi dengan lebih cepat, berkesan, menjimatkan kos serta mesra alam sekitar,” katanya.

Justeru itu, tidak hairanlah apabila mereka dinobatkan tempat ketiga dan membawa pulang geran paten MyIPO, piala serta wang tunai bernilai RM4,000. Malah alat ini juga mendapat respons positif daripada beberapa agensi dan syarikat swasta seperti Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah bagi memelihara kebersihan alam sekitar khususnya kawasan yang berair.

Penulis berpeluang menemu bual tiga pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan di Jabatan Pengajian Politeknik, Putrajaya baru-baru ini bagi berkongsi pengalaman mereka menghasilkan robot berkenaan.

Menurut Sheikh Mohamad Naim, dia mahu menaik taraf alat inovasi ini menjadi sebuah robot automatik dan mampu bergerak laju.

“Saya berperanan menjaga bahagian pembinaan dan perisian robot. Memandangkan caranya saya sudah pelajari semasa kuliah, ia memudahkan lagi proses pembinaan robot.

“Untuk versi akan datang, saya akan menambah kuasa solar pada robot bagi menambah kelajuannya. Selain menambah kamera dan menjadikan robot itu bergerak secara automatik tanpa perlu menggunakan alat kawalan jauh lagi,” katanya.

Menurut Muhammad Ilman pula, dia berasa tercabar apabila ada satu masa robot tidak mahu bergerak dan terpaksa mencari kaedah yang lain.

“Saya dikhaskan untuk menjaga bahagian teknikal, umumnya wayar memang amat sensitif. Walaupun pada awalnya hampir berputus asa, saya tetap cuba mencari kaedah lain untuk menggerakkan robot terbabit. Berkat kesabaran mencuba, robot itu boleh bergerak hinggalah percubaan pengapungan di atas air,” katanya.

Lain pula bagi Nur Imanina, 20, dia sangat berbangga dapat mewakili PTSB walaupun berdepan masalah dari segi reka bentuk robot pada awal pembinaannya.

“Saya ditugaskan untuk mereka bentuk produk ini. Awalnya memang agak mencabar kerana saya perlu memikirkan reka bentuk yang sesuai bagi alat inovasi ini. Namun sesudah membuat pemerhatian terhadap tenaga manusia yang mengangkut sampah di kawasan tasik, saya dan rakan mula mendapat idea untuk mereka bentuk robot versi kedua yang ada sekarang,” katanya.

Anugerah yang mereka terima adalah pengiktirafan kepada pereka cipta atas sumbangan harta intelek dalam pembangunan sosioekonomi negara.

Di samping itu, ia juga menggalakkan minda kreatif serta menanam budaya inovasi dan reka cipta dalam kalangan rakyat Malaysia terutama belia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 8:06 AM