YAZIT (kanan) masih bersemangat untuk bermain dram dengan Search.
PALADIN mantap dengan permainan cello.
Oleh Riadz Radzi

Semangat dan sayangnya Yazit Ahmad, 52, terhadap kumpulan Search memang tidak boleh dipertikaikan.

Buktinya pemain dram dan antara pengasas Search itu sebak dan menangis dalam sidang media kedua Konsert Search Live In Istana Budaya 2014 di sebuah hotel di Kuala Lumpur, petang kelmarin.

Dalam sidang media berkenaan, Yazit yang kini uzur akibat masalah buah pinggang dan kencing manis dilihat menangis ketika menceritakan pengalamannya bersama Search sejak lebih 30 tahun lalu.

Dia juga bersyukur kerana isterinya, Ramlah Mat, 54, setia menemaninya pada saat dia menghadapi kesukaran.

Malah, dalam keadaan begitu Yazit masih bersemangat untuk bermain dram dengan Search dalam konsert berkenaan pada 4 hingga 7 Disember ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

"Saya terlalu sayangkan Search. Sebagai antara pengasasnya, Search adalah tanggung jawab saya dan saya mahu bermain untuk konsert ini.

"Selama ini dalam Search, saya selalu bising dan marah-marah, tetapi itu yang jadikan Search lebih bersefahaman dan matang. Search ada aura yang membuatkan kami berani melakukan perubahan," katanya yang mesra disapa Abang dalam kalangan teman-teman rapat.

Hadir sama dalam sidang media, anggota Search iaitu Amy (penyanyi),Nasir (bass), Din (gitar) dan Kid (gitar).

Bagaimanapun, disebabkan keadaan kesihatannya itu, satu segmen khas untuk Yazit diwujudkan pada penghujung konsert anjuran Urban Creative Synergy Sdn Bhd itu.

Yazit dijangka bermain lima lagu dan selebihnya posisi dram akan diisi pemain dram Projek Pistol, Pae.

Dalam pada itu, Amy turut kagum dan terharu dengan semangat dimiliki Yazit.

"Itulah Yazit yang saya kenal. Dia tak pernah putus asa. Dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan, dia tetap mahu bermain untuk Search," katanya.

Menurut Amy, berdasarkan keadaan kesihatannya, Yazit memang tidak boleh bermain untuk keseluruhan konsert.

"Kita akan sediakan segmen khas untuk Yazit. Setakat ini kita masih berbincang apa lagu yang Yazit akan mainkan dan besar kemungkinan adalah lagu-lagu berentak perlahan," katanya.

Konsert Search Live In Istana Budaya 2014 juga adalah konsert berskala besar pertama mereka selepas Konsert Fenomena 30 Tahun Search di Mines Convention Centre, Seri Kembangan, Selangor pada 2011.

Ia juga bakal menyaksikan Search pertama kali membuat persembahan di Istana Budaya. Dalam konsert selama dua jam itu, Search dijangka mempersembahkan lagu-lagu daripada album terawal bagi mengimbau nostalgia peminat setia mereka.

Tiket berharga RM109, RM209, RM309, RM409 dan RM799 sudah mula dijual sejak 15 Oktober lalu dan maklumat lanjut mengenai tiket sila layari www.ticketpro.com.my.

Sebahagian kutipan tiket juga akan disalurkan ke Tabung Gaza.

Bergabung dengan Paladin

Konsert Search Live In Istana Budaya 2014 juga bakal menyajikan kelainan apabila Search bakal diiringi kumpulan Paladin yang terdiri daripada lima pemain cello profesional.

Apa yang menarik, Paladin bukan sekadar pemain cello biasa, tetapi mereka memainkan muzik rock menggunakan alat muzik yang lebih sinonim dengan muzik orkestra itu.

Paladin yang dianggotai Flow, Jill, Bal dan Haz juga adalah kumpulan rock cello pertama di Asia. Selain membuat persembahan di seluruh negara, Paladin pernah mengadakan persembahan di Bangkok, Thailand.

Amy berkata, Search memilih Paladin kerana mahu lari daripada kebiasaan di mana banyak penyanyi dan kumpulan rock bergabung dengan orkestra.

"Jika dengan orkestra, pemuziknya hanya duduk di satu tempat, tetapi Paladin tidak begitu. Mereka juga adalah 'rocker' dan dalam konsert kami nanti, mereka akan turut sama beraksi seperti kumpulan rock.

"Kami juga memilih mereka kerana sukakan 'sound' cello yang lebih berat berbanding biola. 'Sound' cello itu sesuai dengan muzik rock dan Search khasnya," katanya.

Sementara itu, anggota Paladin, Flow menyifatkan mereka bertuah kerana dipilih untuk mengiringi persembahan Search.

"Kami juga antara peminat Search dan tentulah ia satu penghormatan yang tinggi apabila diminta untuk bergabung dengan kumpulan rock nombor satu negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:03 AM