Oleh Lily Haslina Nasir

Pagi Sabtu Effa yang seharusnya indah menjadi kelam dan kelabu di Menara Rumah Manis. Niatnya masuk pejabat pagi itu kerana mahu menyudahkan kerja dan mengemas kini beberapa dokumen. Namun khabar yang didengar sewaktu bersembang dengan rakan sekerja, Andrian, menggegarkan tulang belulangnya.

“Mak abah Chairil merisik Pia? Maksudnya Tuan Ramli nak pinang budak jongos tu untuk CR?”

“Eh, you tak dengar cerita ke?”

“Bila?”

“Tak pasti tarikhnya bila tapi kan dah heboh, Chairil belikan barang kemas untuk Pia. I dengar hantaran pun Chairil tak mahu banyak-banyak dulang.”

“Alah, CR tak ikhlaslah tu! Mesti ada entah apa-apa Pia dah buat tu!”

“Wei! Bukanlah! Tak banyak dulang, tapi satu dulang yang dia bagi, na­ngis kita tengok.”

“Kenapa pulak?”

“Satu dulang kunci kereta, satu dulang insurans, tak meleleh kempunan kita!”

“Huh! See, kan I dah kata! Pia tu memang somethinglah! Niat yang benar nak kikis harta. Biasalah! Jenis budak-budak baru kerja ni! Bangsa nak senang cepat. Sanggup menempek pada harta orang lain. Jadi parasit!”

“Doakan ajelah yang baik-baik untuk dia orang.”

“Tapi, eh kenapa cepat sangat ya? Macam kelam-kabut aje nak kahwin? Macam tak boleh tunggu aje dah? Takkan Tuan Ramli tak mahu buat preparation betul-betul. CR tu anak tunggal.”

“Tak tahu. Tapi katanya CR sendiri nak cepat.”

“Oh ya? Ke Pia tu dah kembung?” Mengilai gelak Effa sambil keningnya terangkat memandang Andrian penuh mengejek.

Berdesing telinga Andrian mendengar nada sinis penuh fitnah itu. Lelaki itu pantas minta diri. Meninggalkan Effa di mejanya dengan ketar dan debar sendirian. Bibir boleh menunjukkan senyum jengkel, namun jiwa terasa dicincang lumat menahan dendam.

Terasa mahu menjerit melepas bara di hati. Tambah terluka pedih apabila dia berasakan dia orang terakhir di Menara Rumah Manis yang tahu perihal Chairil masuk meminang Sofea. Bukannya tak tahu, tapi tak sangka secepat ini!

Bibir diketap geram. Muka mencuka, tangannya pantas mencapai telefon. Dia mahu mendengar sendiri dari mulut Chairil.

Tiga kali dail baru panggilan dijawab. Chairil di hujung talian. Detak gemuruh tidak mampu disorokkan. Suara Effa agar terketar.

“Ada apa Effa? You datang pejabat ke? Hari ni Sabtu?” Soal Chairil apabila melihat panggilan dibuat dari nombor Menara Rumah Manis.

Tidak berminat mahu bercakap urusan kerja. Effa pantas bertanya.

“Betul ke hari ni parents you pergi merisik Pia?”

“Kenapa?”

“Nak tahu dari you sendiri. Tak boleh? Kita kan kawan pejabat. Kenal dah lama, tak salah kalau I nak tahu.”

“Ya. Petang ni.”

“Sampai hati you tak cerita langsung pada I.”

“Benda personal. Buat apa heboh.”

“CR, kalau you dah ada Pia sekalipun, I nak you tahu, apapun jadi, you tetap dalam hati I. Selama ni sebelum Pia ada, kenapa you layan I lebih dari kawan biasa.”

“Effa, dengar sini. You yang rasa macam tu. I tak rasa apa-apa pun! Daripada you membazir buang kasih sayang you pada I, apa kata you sedekah kasih sayang you tu pada anak-anak yatim ke, pada warga emas di rumah orang tua ke. Come on Effa, you tak boleh salahkan I kalau you ada rasa terluka. Effa, ingat ni, lelaki suka kejar benda yang susah dapat. Baru rasa eksklusif, rasa thrill. Tapi kalau dah body you pun you bagi tayangan percuma siaran langsung kat Menara Rumah Manis, you buat parade pakai seksi-seksi, takkan I nak pejam mata pulak bila you meleseh ­dengan I.”

“Chairil!!”

“Ini realiti Effa. Kita kalau nak makan, takkan nak beli food yang terdedah yang dah dihinggap lalat.” Semakin menjulang api kemarahan Effa. Kau melampau, CR!

“CR, kalau you rasa you dah jumpa soulmate, okay, bagus! Tapi tak payah nak judge I. Hidup I, kalau tak ada cinta sekalipun, so what? You ingat I tak boleh bahagia. Dan, jangan ingat bila jodoh you dah sampai, you rasa you dah sempurna sangat!”

Gagang telefon dihempas. Effa terasa mahu meraung ketika itu juga. Pedih bersagat telinga mendengar segala ungkapan Chairil. Hati yang sedia luka terasa bagai disimbah cuka. Pedihnya tidak terucap. Dendam menjadi semakin dalam dan gelap gelita di kolong hati. Effa menarik nafas dalam-dalam. Mencapai tisu, mengesat penjuru kelopak mata.

Kau angkuh Chairil! Kau bongkak!

Effa memejamkan mata dan tersandar penuh lelah di kerusinya. Tidak berupaya memikirkan apa-apa. Terasa terhina sungguh dirinya mengenangkan kata-kata Chairil. Sekeras-keras hatinya tumpah juga air mata.

Mengelakkan diri daripada dipaksa pergi ke rumah Sofea, Chairil ­sengaja melarikan diri ke kediaman bujang Firdaus. Sebaik saja selesai bercakap dengan Effa, Chairil terus mematikan telefon bimbitnya. Firdaus yang sedang bersiap-siap dengan seluar bermudanya, memandang Chairil dengan dahi berkerut.

“Effa ke?”

“Siapa lagi! Effa. Tak habis-habis nak meroyan.”

“Kau janganlah cakap macam tu. Kasihan dia.”

“Dah menggedik ­sangat. Perempuan macam tu nak kena basuh aje sesekali. Kalau tak faham jugak, tunggulah. Aku sental aje ­dengan berus besi.”

“Macam manalah dia nak pandang muka kau nanti dekat pejabat?”

“Payah sangat nanti aku tukarkan. Itupun kalau sempat tukar. Entah-entah dia kemas barang dia dulu.”

“Kau cakap tadi tu pedas sangat.”

“Perempuan hormon tak stabil macam tu, tak boleh kita nak berlembut sangat. Perempuan jiwa kacau!”

“Ganas ayat kau.”

“Memang Effa tu tiap kali datang bulan, ambil MC. Tak betul aku kata. Hormon dia tak stabil. Asal datang bulan aje, telefon aku. Konon bergulung dekat katil tak boleh bangun.”

“Lorrr... dia mengadu kat kau ke?”

“Dah dia nak kena beritahu aku dia nak cuti. Hah, dah tahu macam tu, gerenti hilang markah kalau kita nak buat bini. Sibuk nak layan senggugut aje, bila nak beranak nanti.”

“Kejam kau!”

“Ni fakta, bro!”

Firdaus menggeleng. Tidak sangka sampai ke hal peribadi Effa, Chairil tahu semuanya.

“Kita ni balik bila?”

“Lepas subuh besok kot. Paling tidak tengah hari. Alah, macam tak biasa.”

“Mak abah kau tak bising ke? Dia orang sibuk, kau ghaib ke laut.”

“Hoi! Choii mulut tu! Aku pergi memancing, cari ikan. Bukan ghaib ke laut!”

“Yalah, orang sibuk dekat rumah kau, yang empunya badan entah ke mana.”

“Itu hal orang tua-tua. Biar dia orang uruskan. Alah, takat nak bincang aje dulu. Bukan ada majlis apa pun.”

Selesai solat Asar, dua sahabat ini bergerak menuju ke Banting. Perkakas, kotak air batu, joran, umpan dan sedikit bekalan makanan memenuhi kereta. Beberapa geng kaki pancing sudah sedia menunggu di pantai Kelanang. Saujana mata memandang laut nan biru. Tampak tenang, ­hanya sesekali berombak kecil. Langit yang cerah menambah lebar senyum Firdaus dan Chairil. Sudah terbayang-bayang ikan jenahak emas yang akan dinaikkan nanti.

Namun tidak sampai tiga jam berada di tengah laut, Firdaus tiba-tiba berasa cuak. Angin yang bertiup terasa keras dan sangat dingin. Tiga sahabat lain termasuk tekong bot sudah mencapai jaket. Sejuk terasa mencengkam hingga ke tulang hitam.

“Biar betul! Kau tengok hujung tu.” Firdaus tiba-tiba terasa ngeri. Kepulan awan gelap seperti mahu runtuh dari langit pada bila-bila masa. Matanya mengecil memandang utara langit.

“Tak ada apalah! Takat langit gelap pun nak takut.”

“Ini kalau hujan, mahu macam empangan pecah ni.”

“Macamlah tak biasa kena hujan!”

Firdaus diam tidak mahu berbalas kata dengan Chairil. Huh! Payahnya kalau dah memang kemaruk memancing. Jauh di sudut hati, dia berdoa, angin tidak menolak gumpulan awan tebal yang hitam itu ke arah mereka.

Doa bagai diangkat ke dada langit. Hujan setakat bergerimis, ombak berkocak kecil dan tidak garang. Ikan-ikan kecil selar

dan kembung segar dijadikan umpan. Malam nanti boleh turunkan candat, sauk sotong-sotong kecil. Memandang laut lepas, jiwa terasa kosong. Ikan yang merentap joran membawa rasa yang luar biasa buat Chairil.

Di rumah Sofea, debar dada Sofea tidak mampu disorok. Mahu mencapai senduk nasi, dia mengambil sudip. Hajah Asmah pesan bancuh air sirap siap-siap dan simpan di dalam peti sejuk, lain yang dibuatnya. Dibuka peti sejuk, dikeluarkannya puding laici yang sudah siap dipotong.

“Ya Allah! Kenapa cemas sangat ni? Bukan nak bernikah pun, orang tua Chairil datang baru nak merisik.” Tegur Puan Asmah, menggeleng melihat anak daranya.

“Dah telefon Chairil? Bila mak abah dia sampai?”

“Chairil tak ikut. Dia pergi memancing. Tapi katanya lepas Zuhur nanti sampai.”

“Astaghfirullah! Pergi memancing? Bertuah betul! Memang tak payah beli ikan di pasarlah siapa jadi bini dia.” Hajah Asmah terkejut mendengar Chairil turun ke laut pada hari penting itu.

“Entah. Dia kata dia ­segan nak bincang sama-sama mak abah.”

Tepat waktu dijanjikan, tetamu yang dinantikan tiba. Tuan Ramli dan Puan Ramnah dengan wajah manis penuh hajat bersalaman dengan sahabat lama mereka. Puan Ramnah memeluk erat Hajah Asmah.

“Kuasa Allah SWT, siapa sangka, kita jumpa balik!” Ucap Puan Ramnah sebak. Dahulu sewaktu Sofea masih bayi dan Chairil masih kecil, Hajah Asmah itulah jiran yang selalu membantunya waktu kecemasan apabila Tuan Ramli ke luar daerah.

“Segan saya dengan Kak Ramnah. Kami ni biasa-biasa aje. Tak sangka pulak budak-budak ni berkawan rapat sekarang.” Hajah Asmah menzahirkan segala yang tersimpan di hati. Tipulah kalau hatinya tidak terusik untuk berbesan dengan majikan anaknya itu biarpun mereka pernah bersahabat berpuluh tahun dahulu.

“Ni semua ketentuan Allah SWT. Kita kalau atur-aturkan, tapi Allah tak izinkan, tak jadi jugak.” Sampuk Tuan Ramli.

Perbualan santai namun mesra itu akhirnya me­ngungkap seribu hajat Chairil. Tergamam Hajah Asmah dan Haji Imran melihat set barang kemas intan yang dihulurkan pada mereka.

“Ini hajat Chairil sendiri. Kami sendiri segan. Orang sibuk nak beli berlian, dia pulak hadiahkan barang kemas intan lama ni untuk tanda risik buat Pia.” Puan Ramnah berterus terang.

Berulang kali abah dan emak Sofea melafazkan terima kasih dan syukur.

“Apapun kami terima dengan berlapang dada. Terpulang pada Chairil. Kami tak pandai nak mintak-mintak atau nak letak syarat.” Tenang suara Haji Imran. Namun untuk ke sekian kali, mereka kembali tersentak dan tergamam. Biarpun Tuan Ramli dan Puan Ramnah bagai berbisik menyampaikan hasrat Chairil yang satu itu.

“Allahu akhbar! Tak payahlah sampai nak bagi kereta, duit simpanan, insurans. Janganlah macam tu! Nanti apa kata orang keliling.” Suara Hajah Asmah tersebak.

“Kami ikhlas. Tak ada niat apa-apa. Ni Chairil sendiri yang pesan. Dia sendiri yang mahu begitu. Tak apalah. Kita ikutkan hajat dia, ya.” Balas Tuan Ramli. Perbualan itu kemudian bersambung di meja makan.

Sofea yang mencuri ­dengar dari balik dinding dapur beberapa kali menahan diri untuk tidak mengalirkan air mata. Sesekali kede­ngaran gelak ketawa emak, abah dan tetamunya di meja makan. Suasana agak riuh, kemesraan amat dirasai antara dua keluarga kecil itu. Namun untuk Sofea, dirinya seperti tersejat dalam ruang yang amat sunyi. Getar di jiwa masih tidak mampu disingkir. Sungguh ke aku mahu menjadi isteri Chairil? Betul ke keputusan aku ini? Bersedia ke aku untuk berkahwin? Ya Allah, tetapkanlah hatiku! Jauhkanlah rasa keliru ini. Kalaulah aku ini umpama awan yang mengapung, jadikanlah Chairil sebagai langit biru tempat aku berumah.

Kata yang diikat hanya menanti waktu untuk dikota. Puan Ramnah dan Tuan Ramli melangkah keluar dari rumah Sofea dengan perasaan yang lapang dan tenang. Tahmid dan tasbih berlagu di ruang jiwa. Doa dilayarkan, mudah-mudahan sahaja semuanya diberkati Tuhan.

Chairil bagai mahu merakus dengan rezeki laut. Biarpun jenahak emas sudah banyak direntap naik ke bot, perasaan tidak cukup mengelabui akal warasnya. Sebelas jam sudah berlalu. Tekong baru hendak mengemudikan bot, mencari lubuk yang lebih selamat. Mahu lari dari ombak yang kasar.

Malam gelita, angin tiba-tiba sahaja berubah keras, ombak menggila berubah ganas. Hempasan ribut membawa bot itu ke dada karang. Chairil terpelanting jatuh. Antara jeritan Chairil dengan suara amukan laut, menjadi keadaan di atas bot sangat kelam-kabut. Firdaus dan tekong bot, Pak Zali, pantas melemparkan pelampung yang bertali. Mujur sahaja dia memaksa semua kaki pancing bawah seliaannya tadi memakai jaket keselamatan. Lelaki itu ditarik naik ke bot. Ada luka pada tangan, ada bengkak pada mukanya. Di atas bot, Chairil terbelahak muntah.

“Dah, kemas! Kita balik aje.” Suara Pak Zali tegas biar sebenarnya cemas. Namun sebagai orang tua, dia tahu, dia harus pura-pura tenang.

“Ribut reda, kita balik.”

Semua kuyup, semua lencun. Bot kecil yang terlambung-lambung dijerkah gelombang yang buas itu menambah perit sakit tubuh Chairil. Seluruh saraf dan sendi terasa kebas dan panas. Bagai ada yang menghiris tajam. Sesekali lelaki itu mengerang menahan sakit. Wajah Firdaus bertambah pucat dan bergerhana apabila Chairil mengadu tidak mampu menggerakkan tubuhnya. Dari paras pinggang ke hujung kaki, terasa berat membatu. Dalam fikiran­nya sudah bersimpang-siur memikir. Terus balik rumah atau terjah ke hospital? Chairil terus mengerang kesakitan.

“Sampai jeti nanti, nak tunggu ambulans ke nak hantar sendiri ke hospital?” Pak Zali bertanya. Bibirnya sendiri basah dengan zikrullah memohon keselamatan semua.

“Kalau ambulans lambat, saya redah ajelah. Mungkin ke Putrajaya. Dekat sikit kot dengan sini. Hospital lain lagi jauh.” Firdaus memutuskan sendiri. Waktu itu dia tidak peduli kalau Chairil mahu berdegil. Dia memandang Chairil dengan seribu rasa kesal dan cemas.

Nafas Chairil semakin perlahan getarannya. Sesekali kedengaran Chairil mengerang sakit yang bukan kepalang. Sesekali lelaki itu menggelepar apabila dirinya terhentak apabila ombak terus gila berpusar. Sejam lebih bertahan dalam kegilaan ribut, antara ketar dan bisa yang meresap ke seluruh tubuh, Chairil berjaya juga dibawa ke hospital. Namun perjalanan yang memakan masa lebih 60 minit itu menambah sengsara tubuhnya.

“Firdaus, kaki dengan pinggang aku tak rasa apa-apa.”

“Tak apa, kau gerak perlahan-lahan. Cuba angkat. Aku papah kau.”

“Tak boleh. Aku tak rasa.”

Langit bagai terbelah tujuh tatkala Firdaus mendengar kata-kata lirih sahabatnya itu. Dia dan Chairil sama-sama menggeletar. Tidak pasti kesejukan atau ketakutan yang menguasai diri. Bulan yang tenggelam dalam malam yang gelita itu kelihatan sangat mengerikan. Di unit kecemasan, Chairil sudah menjadi sayur lecur. ­Hanya kerusi roda yang mampu menggerakkan tubuh sasanya itu.

“Pia, Firdaus ni.”

“Ada apa?” Azan subuh baru sahaja beralun. Sofea terkejut menerima panggilan Firdaus seawal itu.

“Dengar elok-elok, ­jangan panik ya.”

“Ya.”

“Kami di hospital. Tadi masa di laut kami kena ribut. Chairil terjatuh dari bot.”

“Hah?? Habis tu? Teruk?”

“Tak tahu lagi apa status. Tapi dia tiba-tiba tak boleh jalan.”

“Tak boleh jalan langsung.”

“Aha.”

“Berdiri?”

“Pun tak boleh.”

“Melangkah setapak pun tak boleh ke?”

“Tak.”

“Allah!”

“Doktor kata apa?”

“Tak ada keputusan lagi. Tunggu doktor pakar.”

Sofea semakin tersebak. Mata terasa basah. Ya Allah, geruh apa yang menanti kami!

“Kalau nak datang, nanti tolong tengok mesej ya. Nanti abang beri list dalam mesej. Nak kirim barang untuk Chairil. Abang Firdaus tunggu dia dekat sini.”

Sofea tidak mampu berbual lebih lanjut. Kalaulah dia punya sayap, mahu dia terbang ke sisi Chairil subuh itu. Ya Allah,

dalam bahagia yang kau kirimkan, ada dugaan menanti aku! Ya Allah, aku reda dengan ujian-Mu! Subuh itu doa dan

wirid Sofea di sejadah menjadi panjang. Dia tahu, dia harus bertenang. Namun dia tidak mampu menyimpan lama-lama air matanya.

Antara wuduk dan air mata yang membasahi wajah, Sofea mencapai al-Quran. Halus dan sedikit serak suaranya menahan sebak tatkala mengaji. Mudah-mudahan saja, eng­kau tidak apa-apa, Chairil!

Angin pagi menerbang­kan sisa-sisa dingin malam. Sofea sendirian ke hospital. Diam-diam tanpa memberitahu orang tua­nya. Berbekalkan berus gigi, tuala, kain pelekat dan beberapa keperluan lain, dia menghulurkan beg yang dibawanya kepada Firdaus. Wajah lelaki itu tampak lesu dan matanya lebam tidak cukup tidur. Chairil masih lena di katil. Kesan ubat tahan sakit dan drip di tangan, membuatkan Chairil tidak sedar dia ada tetamu.

“Kenapa jadi macam ni?”

“Ribut.” Jawab Firdaus sepatah. Tidak mahu me­ngejutkan Chairil.

“Chairil jatuh?”

Firdaus mengangguk.

“Jatuh dalam laut.”

Firdaus angguk kali kedua. Sofea terasa longlai. Mendengar sendiri khabar itu secara bertentang mata membuatkan jantungnya bagai terpelanting ke tumit. Selama ini bagi Sofea, tiada waktu yang lebih menjerakan, tiada masa yang terentang panjang. Tapi kini, menanti saat dan waktu Chairil sedar dari lenanya, satu penasaran yang sangat menyeksakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 11:05 AM