TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Port Dickson: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes seorang operator pengeluaran yang menghadapi tuduhan membunuh anak tirinya, Ogos lalu.

Majistret M Mageshwary menetapkan tarikh itu terhadap Siti Zabrina Adin, 39, bagi menunggu keputusan bedah siasat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nur Damia Amani Mohd Azam, 5, di rumah di Lorong Makmur 6, Taman Lukut Makmur, Lukut, antara 3.30 petang hingga 5.15 petang, pada 7 Ogos lalu.

Berikutan perbuatan itu, dia didakwa Mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pada 20 Ogos lalu, tertuduh dihadapkan ke mahkamah sama atas tuduhan terbabit, namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 12:11 PM