Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani (lapan dari kiri), Pengarah Urusan Bombbay Worldwide, Zambre Shaari Kumpulan May, Exist dan The Blues Gang tunda konsert The Blue Jeans Disember depan. - Foto fail NSTP
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Konsert The Blue Jeans menampilkan kumpulan Blues Gang, May dan Exist yang akan berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ini ditunda ke Disember depan kerana tarikhnya bertembung dengan enam konsert lain di sekitar Lembah Klang dan Johor Bahru.

Pengarah Urusan Bombbay Worldwide Zamberi Shaari yang juga penganjur konsert The Blue Jeans berkata, antara konsert terbabit ialah Konsert Wings 30 Tahun di Stadium Merdeka pada 31 Oktober ini; Konsert Hujan 10 Tahun di KL Live (31 Oktober); Konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta di Stadium Malawati, Shah Alam (31 Oktober); Konsert Kembara M Nasir di Stadium Malawati, Shah Alam (7 November) dan Konsert Satu Suara Volume II Siti Nurhaliza di Istana Budaya (7 November).

Selain itu, Konsert Panggung Khayalan Search turut diadakan di Johor Bahru, Sabtu ini.

“Penganjuran konsert ini dalam tarikh sama dan berdekatan membuatkan peminat muzik tanah air dalam dilema. Mereka terpaksa membuat pilihan konsert mana paling berbaloi untuk mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Zamberi berkata, pihaknya ingin memohon maaf kepada peminat Blues Gang, May dan Exist yang sudah membeli tiket dan akan membuat sidang media dalam masa terdekat ini.

“Peminat yang sudah membeli tiket boleh menuntut semula wang mereka. Kami akan membuat sidang media dalam masa terdekat ini bagi memaklumkan tarikh baru konsert berkenaan dan pemulangan wang kepada pembeli tiket,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 1:29 PM