AHMAD Zahid menyampaikan anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2015 kepada Mohammad Tarmizi sambil diperhatikan Richard dan Fadillah. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Penuntut institusi kemahiran di negara ini perlu melakar lebih kejayaan di peringkat antarabangsa dan bukan hanya menjadi jaguh kampung.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka perlu merangkul lebih banyak kemenangan di peringkat ASEAN, seterusnya antarabangsa.

"Jangan hanya jadi jaguh kampung, tetapi jadilah jaguh antarabangsa,"katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada majlis itu, penuntut Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas Pulau Pinang, Mohammad Tarmizi Abu Hassan, 22 diumum sebagai penerima Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2015.

Penganugerahan itu melayakkannya menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala dan sijil penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 2:33 PM