BARISAN pemenang bersama pingat dimenangi.
BARISAN pemenang bersama pingat dimenangi.

Kuala Lumpur: Pasangan Ridzwan Rahmat-Misbun Shawal Misbun mempamerkan aksi mantap apabila menjuarai acara beregu lelaki kejohanan badminton Antarabangsa Mesir kelmarin.

Pasangan yang bernaung di bawah Kelab Badminton Nusa Mahsuri itu menewaskan Bahaedeen Ahmad Al Shannik-Mohd Naser Mansour Nayef dari Jordan 21-15, 17-21, 21-16.

Kejayaan itu adalah kejuaraan pertama buat Ridzwan-Misbun Shawal di peringkat antarabangsa sejak mula digandingkan bersama.

Terdahulu pada separuh akhir, Ridzwan-Misbun Shawal mencipta kejutan terbesar selepas menundukkan pilihan pertama kejohanan, Ali Ahmed El Khateeb-Abdelrahman Kashkal dari Mesir.

“Sudah pasti saya bangga meraih gelaran pertama antarabangsa sejak bergelar pemain profesional. Saya harap mampu meneruskan kejayaan ini,” kata Ridzwan.

Bagaimanapun hasrat Ridzwan untuk melakar kejayaan berganda tidak kesampaian apabila sekadar berpuas hati melangkah ke separuh akhir perseorangan lelaki sebelum tunduk kepada pilihan pertama Edwin Ekiring dari Uganda.

Selain Ridzwan dan Misbun Shawal, turut mengambil bahagian pada kejohanan itu Muhammad Ziyad Md Tah sambil diiringi jurulatih Salim Samion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 8:26 AM