PENGGUNA iPhone perlu manfaatkan data dan tawaran menarik apabila beli telefon.
Oleh Afiq Hanif


Sejak iPhone pertama kali dikeluarkan pada 2007, suasana telefon mudah alih berubah dengan minat mendalam pengguna terhadap peranti terbabit.

Ia dapat disaksikan dengan keghairahan peminat Apple beratur berjam-jam lamanya dan trend terbabit berterusan hingga ke hari ini tidak terkecuali Malaysia.

Peranti popular yang dikeluarkan syarikat daripada Cupertino, Apple iaitu iPhone 6s dan 6s Plus secara rasmi boleh didapati di Malaysia tengah malam esok dengan empat nama besar dalam industri telekomunikasi tanah air melancarkannya iaitu Digi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi), Maxis Berhad (Maxis), Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile).

Keempat-empatnya dijangka menawarkan peranti itu secara rasmi serentak pada tengah malam esok (sehingga artikel ini ditulis) dan memasarkannya tepat jam 12.01 tengah malam.

Betul, ia kali keempat pelancarannya dilakukan serentak dan seperti biasa ribuan peminat iPhone sanggup datang awal dan menunggu sehingga berjam-jam lamanya hanya sekadar untuk menjadi antara yang pertama mendapatkan model baru itu.

Lebih menarik lagi, Apple turut mengumumkan iPhone 6s dan 6s Plus boleh dibeli terus secara online daripada Apple Store dan pengguna hanya perlu ke syarikat telekomunikasi untuk mendapatkan pelan yang bersesuaian.

Bagaimanapun, jika anda mahukan kos pemilikan lebih murah serta cepat untuk iPhone baru itu digenggam di tangan, cara terbaik membelinya daripada syarikat telekomunikasi berserta dengan pelan tertentu mengikut kemampuan dan keperluan.

Apakah perbezaan pelan yang ditawarkan syarikat telekomunikasi?

Persoalan itu menimbulkan banyak kebimba­ngan dalam kalangan pembeli kerana takut terikat dengan kontrak yang sebenarnya bukan mudah untuk difahami daripada ketiga-tiga syarikat telekomunikasi apabila membelinya. Maklumlah, kontraknya pun bukan sebulan dua, tapi sehingga 12 bulan atau 24 bulan.

Dengan tempoh lama itu, pengguna perlu membuat pilihan terbaik dengan memilih syarikat yang bukan saja mampu memberikan perkhidmatan berkualiti, tapi seharusnya juga mampu memberikan nilai lebih baik atau kos lebih rendah dalam jangka masa panjang.

Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar mungkin kurang bermasalah dengan kualiti perkhidmatan, tapi bagi mereka di luar bandar pula bukan saja kualiti, tapi liputannya perlu utuh.

Seseorang yang membeli telefon pintar seperti iPhone 6s atau 6s Plus sudah tentu tidak hanya menggunakannya untuk membuat panggilan dan khidmat pesanan ringkas/multimedia (SMS/MMS), tapi juga menggunakan perkhidmatan data termasuk capaian Internet, e-mel, laman sosial dan sebagainya.

Itu semua perlu difikirkan sebelum memilih penyedia perkhidmatan terbaik.

[email protected] memperlihatkan perbezaan antara syarikat telekomunikasi yang bukannya mengenai kualiti perkhidmatan, tapi dari aspek pemilikan dengan membandingkan pakej yang ditawarkan dalam bentuk rujukan mudah.

Kandungan pelan DiGi, Maxis, Celcom dan U Mobile

Tidak semua pelan adalah sama. Walaupun keempat-empatnya menawarkan penggunaan dalam pakej dalam tempoh pelan mereka untuk jumlah yang tetap, tawaran dan syarat penggunaan boleh berbeza antara satu sama lain.

Perlu diingatkan, iPhone 6s dan 6s Plus banyak bergantung kepada data untuk pengalaman penuh. Oleh itu, kebanyakan kita sebagai pengguna akan melihat data yang ditawarkan ketika mula-mula membelek brosur syarikat.

Meskipun pengguna boleh memilih pelan data yang sesuai dengan keperluan penggunaan mereka, mung­kin perlu mengetahui jika mempunyai kecenderungan untuk menggunakan kuota data yang disediakan secara bulanan.

Selepas mengkaji brosur dan maklumat laman web masing-masing, didapati DiGi, Celcom dan U Mobile tidak mengenakan bayaran tambahan jika anda melebihi kuota yang ditetapkan, tapi kelajuan pindah turun atau naik anda boleh dikurangkan kepada kelajuan yang lebih rendah.

Kalau mahu ia kembali laju, anda perlu membeli pakej data baru.

Secara teknikalnya, jika kelajuan asal menggunakan rangkaian evolusi jangka panjang (LTE), generasi ketiga (3G) atau Akses Paket Berkelajuan Tinggi (HSPA), selepas mencapai kuota yang ditetap­kan itu maka ia akan menurun ke teknologi rang­kaian yang lebih perlahan seperti Kadar Data Dimajukan untuk Evolusi GSM (EDGE).

Sebaliknya, Maxis tidak menetapkan skala mengurangkan kelajuan, tapi memperkenalkan polisi data lebihan yang digunakan akan dikenakan caj tambahan.

Selepas penggunaan data yang penting kepada pengguna iPhone, terdapat aspek lain yang perlu diteliti dan dikaji bagi mendapatkan pelan terbaik seperti jumlah panggilan yang disediakan, jumlah khidmat SMS atau MMS.

SMS masih menjadi kegunaan penting bagi pengguna di Malaysia walaupun terdapat sistem pesanan segera lain menerusi pemasangan aplikasi yang boleh didapati daripada seperti WhatsApp, WeChat, Line dan Telegram untuk iPhone.

Selain itu, anda perlu melihat pelan yang memboleh­kan anda menggunakan iPhone 6 untuk menghubungi individu yang berlainan rangkaian.

Jika anda jenis individu yang membuat banyak pang­gilan, pelan Maxis, DiGi dan U Mobile adalah satu kelebihan besar kerana mereka menawarkan sehingga panggilan tanpa had yang digabungkan ke mana-mana rangkaian.

Jumlah kos?

Ada perbezaan yang besar dalam pakej yang ditawarkan syarikat telekomunikasi jika anda mahu mendapatkan iPhone 6s atau 6s Plus.

Maxis menawarkan kaedah biasa menawarkan iPhone 6s pada harga subsidi manakala DiGi tidak menampakkan perbezaan ketara dari sudut harga.

Untuk kontrak DiGi, ia ada kelebihan tanpa bayaran pendahuluan yang biasanya dikenakan sehingga RM700 bagi harga telefon jika anda melanggan iDiGi 50 de­ngan kontrak selama setahun. Walau bagaimanapun, anda akan memperoleh data sebanyak 2GB saja.

Jika anda sedar, DiGi SmartPlan 78 ditawarkan pada harga RM78 sebulan (dengan bil auto). Oleh itu, secara ringkasnya, anda membayar kurang untuk telefon, tapi bayaran pendahuluan sudah diperlukan pada harga RM480 yang dimasukkan kembali dalam langganan bulanan.

Jika anda mahu mendapatkan iPhone 6s atau 6s Plus dengan DiGi, [email protected] mencadangkan anda mendapat­kan pelan DiGi SmartPlan 50 dengan kaedah pembayaran seperti berikut:

Peranti: iPhone 6s 64GB

Harga keseluruhan dibayar: RM3,235

Harga asal (iPhone saja): RM3,699

Data bulanan: 2GB

Kontrak: 12 bulan

Bayaran bulanan: RM50

Bagi iPhone 6s 64GB yang ditawarkan Maxis pula, ia boleh didapati dengan harga RM3,185 pada nilai iValue 1 dengan kontrak 12 bulan seperti berikut

Peranti: iPhone 6s 64GB

Harga keseluruhan

dibayar: RM3,185

(termasuk bayaran

pendahuluan RM300)

Harga asal (iPhone saja): RM3,699

Data bulanan: 2GB

Kontrak: 12 bulan

Bayaran bulanan: RM100

Bagi Celcom pula, ia menawarkan kelebihan de­ngan tambahan data ba­nyak seperti berikut:

Peranti: iPhone 6s 64GB

Harga keseluruhan dibayar: RM3,372 (termasuk bayaran pendahuluan RM650)

Harga asal (iPhone saja): RM3,699

Data bulanan: 20GB

(termasuk Internet

tambahan 12GB dan Internet Optimizer 3+3)

Kontrak: 24 bulan

Bayaran bulanan: RM85

U Mobile mempunyai pakej iPhone 6s dan 6s Plus paling menarik memandangkan syarikat terbabit turut menawarkannya untuk pakej prabayar yang tidak terdapat pada mana-mana syarikat telekomunikasi.

Lebih menarik, anda boleh membelinya dengan pakej Flexi U MicroCredit iaitu pembelian iPhone melalui bayaran bulanan sebagai pilihan tambahan kepada individu yang tidak mampu mendapatkannya pada harga penuh.

Jika anda perhatikan di atas juga, [email protected] mencadangkan pemilikan iPhone dengan kapasiti 64GB memandangkan ia lebih sesuai terutama untuk memaksimumkan kuasa telefon itu sendiri seperti rakaman foto dan video.

Tidak cukup jika hanya mendapatkan setoran jenis 16GB kerana mengikut pengalaman penulis, anda pasti kecewa dengan pembahagian setoran yang bak kata orang, ‘makan space’.

Aspek lain yang perlu dipertimbangkan

Seperti biasa, perbandingan yang dibuat hanya tertakluk kepada harga dan kos pemilikan saja untuk rujukan.

Sebelum menandatangani kontrak pembelian, anda juga perlu mengambil kira aspek lain seperti kualiti liputan rangkaian, prestasi, perkhidmatan pelanggan dan suara yang berbeza pada setiap rangkaian.

Tapi, ia sukar untuk membandingkannya kerana keadaan demografik yang berbeza bergantung pada kawasan. Kos pemilikan yang disenaraikan di atas untuk rujukan semata-mata dan ia berdasarkan andaian bahawa anda tidak membuat panggilan, SMS, MMS dan data lebih daripada yang ditetapkan.

[email protected] mencadangkan pengguna mengkaji bil bulanan untuk mengetahui jumlah sebenar yang digunakan setiap bulan.

Dari situ, anda perlu menganggarkan pelan yang lebih sesuai dan menjangkakan berapa banyak yang anda belanjakan apabila melebihi had yang ditawarkan dalam pelan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 11:12 AM