Agensi

Jakarta: Pemangku Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama (Ahok) berkata, dia berharap kanak-kanak di kota raya itu dapat mengkhatam al-Quran menjelang usia mereka 12 tahun.

“Saya ingin semua kanak-kanak beragama Islam menamatkan pengajian al-Quran.

“Justeru, saya minta bantuan Majlis Ulama Indonesia merealisasikan matlamat ini,” katanya.

Ahok berucap merasmikan perhimpunan Majlis Ulama Indonesia (MUI) Jakarta, semalam.

Menurut Ahok, untuk memudahkan sasaran itu terlaksana, kanak-kanak dan remaja Muslim perlu ditarik supaya gemar meluangkan waktu di masjid lebih lama berbanding di tempat lain.

“Maka keadaan masjid dan kemudahannya mesti selesa, bukan sempit.

“Ruang yang lebih besar diperlukan bagi membina kawasan membaca al-Quran,” katanya.

Ahok berkata, MUI perlu memainkan peranan mempercepatkan proses itu dengan membangunkan tanah wakaf yang ditadbir.

Katanya, tanah itu nanti akan diganti dengan kawasan baru oleh pemerintah Jakarta.

“Berdasarkan kaji selidik saya baca, kanak-kanak yang menghabiskan banyak waktu di rumah ibadah akan menjadi orang yang berguna kepada agama dan bangsanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:05 AM