FOTO ihsan abcnews

Kuala Lumpur: Empat lelaki, termasuk dua warga Indonesia didenda RM990 seorang kerana berpakaian menyerupai wanita di tempat awam oleh Mahkamah Rendah Syariah, di sini hari ini.

Hakim Syarie, Imamudin Yunus menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Afshan Amrab, 24, Ace Mohamad Suriansah, 23, dan dua warga Indonesia iaitu Bahtiar, 29, serta Riko Adrian, 35, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepada mereka.

Imamudin turut mengarahkan kesemua tertuduh supaya berkelakuan baik selama enam bulan dengan mengikuti sesi kaunseling dan pemulihan dikendalikan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Mereka juga diperintahkan melaporkan diri sebulan sekali dengan bahagian itu.

Mereka didakwa memakai pakaian menyerupai wanita bagi tujuan melakukan kesalahan tidak bermoral di Jalan Haji Taib, Jalan Changkat Bukit Bintang, dan Jalan Putra di sini, antara jam 12.10 pagi hingga 3.40 pagi, 15 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 28 Kanun Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Kesemua lelaki itu membayar denda berkenaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 7:46 PM