PEMAIN BATE Nikolai Signevich (kanan) dikekang pemain Barcelona Sergio Busquets  (kiri) dan Javier Mascherano.
PEMAIN BATE Nikolai Signevich (kanan) dikekang pemain Barcelona Sergio Busquets (kiri) dan Javier Mascherano.

Barysaw, Belarus: Juara Eropah, Barcelona semakin hampir untuk mengesahkan tempat ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara apabila dua jaringan Ivan Rakitic membolehkan mereka menang selesa 2-0 ke atas BATE Borisov.

Rakitic bermula dari bangku simpanan tetapi dimasukkan selepas Sergi Roberto cedera dan membuka jaringan pada babak kedua susulan persembahan hambar pelawat sepanjang 45 minit pertama.

Neymar membuat hantaran bagi membolehkan pemain Croatia itu menghasilkan gol kedua sekali gus mengukuhkan kedudukan Barca di tangga teratas Kumpulan E dengan tujuh mata selepas tiga perlawanan pertama.

Keputusan seri 4-4 antara Bayer Leverkusen dan AS Roma dalam satu lagi aksi kumpulan membolehkan Barca mengatasi kelab Jerman itu tiga mata sambil BATE mendahului Roma dengan kelebihan satu mata di tangga ketiga.

“Secara keseluruhan, semua pemain bermain dengan baik. Kami bertindak sebagai satu pasukan dan saya tidak fikir BATE berjaya mencipta peluang menjaringkan gol ke atas kami,” kata Rakitic. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 8:24 AM