Permainan video di pelantar PC masih mempunyai pengikut. HAZRIL MD NOR membuat analisis bagi konsep utama membezakan dua dunia permainan video berbeza dimainkan di komputer peribadi.

Kebebasan memiliki apa saja dalam dunia fantasi berterusan pasti sedikit sebanyak meningkatkan tahap kepuasan anda sepenuhnya. Sebagai pemain, anda inginkan yang terbaik kerana pertamanya, anda ingin ‘laburkan’ masa dalam permainan itu dan kedua, anda dahagakan keseronokan sepanjang sesi permainan.

Difahamkan, konsep permainan video terbahagi kepada dua iaitu percuma dan langganan seperti didapati di PC. Terdapat beberapa perbezaan nyata bagi kedua-dua konsep permainan ini. Penulis bincangkan selanjutnya.

‘Pay To Play’

Hanya beberapa genre permainan video dapat dikategorikan sebagai P2P. Genre Massively Multiplayer Online Role Playing Game (MMORPG) antara yang paling dominan dengan sistem ini.

Langganan bulanan sebanyak RM 63.86 adalah kadar biasa dikenakan dalam permainan berkonsepkan P2P. Bagi peminat genre seumpama ini, mereka mempunyai alasan tersendiri meneruskan langganan.

Lebih kompleks - Jika diperhatikan, ‘game’ dengan sistem P2P mempunyai kandungan lebih kompleks dan menarik berbanding lawannya. Menilai populariti World of Warcraft dan Elder Scrolls Online, kedua-duanya menawarkan konsep dunia permainan merangkumi tekstur, model dan visual grafik menawan.

Eksklusif - Sesuai dengan istilah bayar untuk bermain, pemain biasanya diberi akses kepada segala fungsi berupaya mengubah penampilan karakter, menambahkan kekuatan, mengubahsuai visual kuasa dan lain-lain. Selain itu, mereka turut diberi kelebihan seperti mendapat item eksklusif dicipta hanya untuk pemain yang melanggan permainan atas talian itu.

Ekonomi - Biasanya ‘game’ berteraskan sistem langganan bulanan menawarkan sistem ekonomi lebih kompetitif. Sebagai contoh, Diablo 3 pada mulanya memperkenalkan sistem ‘auction house’ yang membolehkan pemain berjual beli item melalui sistem transaksi mikro, berbeza dengan Path of Exile yang menggalakkan pemain menggunakan sistem ‘trading’ saja.

‘Free To Play’

Kerana pilihan permainan berkonsepkan F2P lebih meluas, maka ramai anak muda menggemari sistem ini kerana tidak perlu berbelanja atas dasar paksaan. Namun, terdapat beberapa kelemahan dalam sistem ini.

Had tertentu - Berpaksikan konsep F2P, semestinya ada had dikenakan berupa suatu bentuk kongkongan kepada pemain mengakses kesemua kandungan dalam permainan. Sebagai contoh, pembangun mengenakan bayaran jika anda ingin menukar visual karakter ataupun memiliki item unik yang mampu berikan manfaat dalam permainan.

Lebih banyak pelaburan - Walaupun percuma, tidak semestinya tiada bayaran tambahan dikenakan. Kebiasaannya, anda akan melabur lebih banyak wang untuk menguatkan karakter demi mencapai kedudukan tertinggi berbeza dengan sistem P2P yang hanya mengenakan bayaran sekali sebulan.

Pengenalan kepada avatar - Sistem avatar atau penukaran visual karakter bukanlah suatu kemestian namun ia mampu beri kepuasan kepada pemain. Sebagai contoh, Dota 2 mengetengahkan sistem avatar atau set yang boleh mengubah penampilan setiap hero. Berita baiknya, pemain turut diberikan akses kepada kandungan lain dalam permainan terbabit.

Ini sekaligus menunjukkan tidak semua permainan video ‘F2P’ menghadkan kebebasan kepada pemain. Justeru, ia bergantung kepada pemain sama ada ingin menukar visual karakter mengikut pilihan masing-masing.

Kesimpulannya, ia bergantung kepada anda menentukan keperluan dan keinginan mencapai matlamat dalam setiap permainan. Ingin meraih kedudukan tertinggi dengan kadar segera? Maka konsep F2P lebih sesuai untuk anda. Ingin akses kepada semua kandungan dalam permainan? Maka konsep P2P lebih menepati cita rasa anda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 9:42 AM