PEMANDANGAN bejerebu di sekitar bandaraya Georgetown. FOTO Mikail Ong
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menubuhkan tiga pasukan petugas khas bagi menangani isu jerebu yang melanda di kawasan utara, khususnya Pulau Pinang.

Ia berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat yang turut membabitkan sekitar kampus induk di bahagian pulau, Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal serta Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Omar Osman berkata, tiga pasukan kerja yang ditubuhkan ialah Pasukan Petugas Tekanikal yang akan menasihatkan Naib Canselor dan universiti dalam membuat sesuatu keputusan jangka pendek dan panjang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mengambil kira pelbagai aspek kepakaran bagi memantau jerebu.

Beliau berkata, pasukan Petugas Khas pula akan meneliti penyediaan panduan pentadbiran terperinci ketika keputusan pembatalan dan penangguhan kuliah mahu pun aktiviti akademik dibuat.

Menurutnya, pasukan Petugas Khas yang membabitkan akademik pula akan membuat penelitian dan cadangan terhadap hal yang berkaitan dengan kuliah dan tutorial termasuk kemungkinan dalam proses gantian pembelajaran, cuti semester dan peperiksaan bagi memastikan pelajar tidak terjejas akibat dari keadaan yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 7:06 PM