PERMAINAN tuju tin susu, antara yang paling popular zaman duu.

Beberapa dekad yang lalu, permainan tradisi amat popular dalam mengisi masa senggang kanak-kanak yang berada di kawasan kampung.

Acara tuju tin, lastik para getah, tarik upih pinang dan guli antara permainan untuk bersantai bersama rakan sebaya.

Secara tidak langsung, hubungan kemasyarakatan waktu itu amat akrab dan mewujudkan suasana yang harmoni.

Namun begitu, kemunculan era teknologi maklumat dan kehadiran peranti elektronik canggih menyebabkan golo­ngan muda hari ini kurang mengenali aktiviti sedemikian.

Masing-masing sibuk menatap gajet tanpa mengira waktu sama ada makan, santai bersama keluarga dan belajar.

Lantaran itu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Mahsuri bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Mahsuri mengambil inisiatif menghidupkan kembali permainan tradisi ini dalam Program Nostalgia Sukaneka-Terkenang Semasa Dulu, baru-baru ini.

Pengerusi KRT Taman Mahsuri, Ahmad Shaker Ahmad berkata, idea melaksanakan program ini timbul apabila setiap KRT dan JKKK di seluruh negara diarahkan mengadakan aktiviti sukan sempena Hari Sukan Negara 2015.

“Kebanyakan JKKK yang ada mengadakan aktiviti yang biasa seperti sukaneka, senamrobik dan berjalan kaki,” kata Ahmad Shaker.

“Bagi mencipta kelainan dan mengimbau nostalgia silam, kita bersetuju untuk mengadakan pertandingan yang membabitkan permainan tradisional,” katanya.

Ia bukan saja menarik perhatian kanak-kanak, tetapi juga golongan dewasa yang tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan yang diadakan.

Malah, ia turut disertai penduduk pelbagai kaum seperti Cina, India dan juga Siam.

Acara yang menarik perhatian antaranya tarik upih pinang, guli bank dan tuju tin susu.

KRT Taman Mahsuri juga antara pertubuhan yang aktif dan pernah merangkul beberapa anugerah termasuk Naib Johan, Anugerah Perdana Pe­ngurusan KRT Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2012.

Selain pelbagai acara permainan, peserta yang hadir terutama golongan veteran mengenakan pakaian seperti orang zaman dulu sekali gus menyerikan lagi program pada hari terbabit.

Pengunjung yang hadir juga berpeluang merasai keenakan ais kepal, ubi sengkuang palit dan sagon yang jarang ditemui pada masa kini.

Semoga usaha KRT dan JKKK Taman Mahsuri ini dapat memperkenalkan kembali permainan tradisional, terutama kepada kanak-kanak yang pastinya tidak pernah merasai pengalaman sebegini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 12:37 PM