Gelaran Datuk Seri yang dikurniakan kepada Dr Mohammad Khir Toyo pada 2001 ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa 30 September lalu- FOTO arkib NSTP
Oleh Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri yang dikurniakan kepada Dr Mohammad Khir Toyo pada 2001 ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa 30 September lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, penarikan darjah kebesaran itu berasaskan kepada keputusan mahkamah pada 29 September lalu yang memutuskan Dr Mohammad Khir didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan atas kesalahan menggunakan kedudukannya memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, lapan tahun lalu.

Katanya, atas kesalahan itu Dr Mohammad Khir tidak layak memegang darjah kebesaran itu.

"Justeru, Dr Mohammad Khir dilarang menggunakan darjah kebesaran dan gelaran 'Datuk Seri' malah mana-mana pihak turut ditegah daripada memanggil beliau dengan gelaran itu yang sudahpun ditarik balik dan dibatalkan.

"Ia selaras dengan kuasa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di bawah Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Statut Darjah Kebesaran yang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini petang tadi.

Katanya, Sultan Selangor memandang berat mengenai reputasi penerima Darjah Kebesaran Negeri Selangor terutama di kalangan pemimpin negara dan negeri yang terbabit dengan perlakuan tidak sihat dan tidak berintegriti seperti terbabit rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.

"Penerima darjah kebesaran seharusnya tidak terbabit dengan perbuatan salah laku dan kesalahan jenayah demi melindungi martabat Darjah Kebesaran Negeri Selangor di samping memelihara status penerimanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 5:06 PM