SENJATA dan bahan letupan dirampas polis.

Berlin: Polis di Jerman berjaya mematahkan perancangan sebuah kumpulan haluan kanan untuk menyerang pusat perlindungan pelarian menggunakan pistol, bahan letupan dan kayu besbol.

Seramai 11 lelaki dan dua wanita ditahan dalam serbuan di Bamberg, Jerman, selepas polis memantau mereka sejak setahun lalu.

Polis mengesahkan kumpulan itu bercadang menggunakan letupan termasuk dua mercun ‘bom bola’ seberat 1 kilogram yang diharamkan dalam serangan yang dirancang untuk 31 Oktober ini.

Polis merampas beberapa kilogram mercun haram dan beberapa senjata api, peluru, kayu besbol serta pisau.

Pendakwa Erik Ohlenschlager berkata, kumpulan itu mahu menakutkan peminta suaka dan ‘bom bola’ berkenaan yang disahkan pakar letupan mampu menyebabkan kerosakan teruk termasuk memecahkan tingkap jika dilepaskan berhampiran kediaman peminta suaka berkenaan.

Timbalan Ketua Polis daerah Upper Franconia Werner Mikulasch berkata, ia juga mampu menyebabkan kecederaan atau maut jika diletupkan dalam kawasan tertutup yang kecil seperti bilik atau kereta.

Beberapa suspek yang ditahan anggota parti politik The Right, manakala seorang lagi terbabit dalam penganjuran bantahan di Nuremberg untuk kumpulan yang berkaitan dengan persatuan anti-Islam PEGIDA.

Lima suspek dibebaskan manakala yang lain masih disiasat.

Pihak berkuasa Jerman memberi amaran keganasan terhadap migran semakin meningkat dengan lebih 576 terhadap atau di sekitar tempat perlindungan pelarian tahun ini - hampir tiga kali ganda jumlah direkodkan sepanjang 2014. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 5:07 AM