Reuters

Manchester: Kekurangan rehat ketika musim sejuk mengakibatkan pemain Liga Perdana kepenatan pada setiap hujung musim dan menjadi antara faktor penyumbang kepada aksi longlai England di peringkat antarabangsa, kata pengurus Manchester United Louis van Gaal (gambar).

“Tidak ada rehat musim sejuk dan saya rasa inilah faktor paling buruk dalam arena bola sepak Inggeris. Sangat tidak bagus buat England,” kata pengendali Belanda itu seperti dipetik media Britain.

“Ia tidak bagus untuk kelab dan skuad kebangsaan. Sudah berapa lama England tidak menang apa-apa? Ia kerana semua pemain kepenatan pada hujung musim.”

Ketika beberapa liga Eropah utama lain berhenti rehat ketika musim sejuk, liga Inggeris pula perlu mengharungi jadual padat sepanjang musim perayaan itu.

Van Gaal berkata, keperluan untuk merehatkan liga adalah sangat penting buat Liga Perdana yang berkemungkinan besar hilang empat slot kelayakan secara automatik ke Liga Juara-Juara di tangan Serie A pada 2017-18 gara-gara kurang kejayaan sejak kebelakangan ini.

“Liga Perdana adalah liga paling sukar untuk dimenangi kerana tahap tinggi setiap pasukan. Anda tidak boleh menewaskan pasukan lain dengan mudah,” kata Van Gaal.

“Jadual sangat padat dan anda perlu turut bermain di Liga Juara-Juara. Ia bukan mudah dan itulah sebabnya mengapa skuad Inggeris tidak menang Liga Juara-Juara sejak beberapa tahun lalu kerana terdapat perbezaan besar dengan liga lain.”

Van Gaal turut berkata, United yang bakal melayan kunjungan pendahulu City di Old Trafford malam esok, berkemungkinan diketuai pemain pertahanan Chris Smalling, satu hari nanti.

“Wayne Rooney adalah kapten dan sehubungan itu anda tidak perlu bimbang. Jika dia tiada, Michael Carrick pasti menggantikannya tapi apabila kedua-duanya tiada nanti, Chris Smalling boleh menjadi pengganti,” kata Van Gaal.

“Itulah sebabnya mengapa saya mengarahkannya memainkan peranan lebih besar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 5:09 AM