ZAIN bersama Che Ta dan anaknya Aaisyah.
ZAIN bersama Che Ta dan anaknya Aaisyah.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Sebagai selebriti popular, Rozita Che Wan atau Che Ta, 42, sering dikaitkan dengan pelbagai gosip dan kontroversi.

Terbaru, dia mengambil keputusan meninggalkan kerusi pengkritik tetap dalam program realiti popular Akademi Fantasia 2015 (AF2015) yang berakhir siarannya menerusi Astro Ria pada 11 Oktober lalu.

Keputusan itu diambil Che Ta disebabkan tidak puas hati dengan tindakan pengetua AF2015, Edry Abdul Halim yang ‘mencercanya’ secara terbuka selepas dia memberi kritikan.

Perkara itu berlarutan apabila berlaku perbalahan kenyataan dan kedua-dua pihak mendakwa masing-masing tidak bersikap profesional.

Sewaktu kejadian berlaku, suami Che Ta, Zain Saidin turut berada di lokasi rakaman. Sebagai suami, tidakkah timbul rasa geram dan marah kepada pelakon dikenali melalui drama Oh My English itu apabila kreadibiliti isterinya cuba diperkotak-katikkan?

Malah tentu ramai tertanya-tanya bagaimana Zain atau Mohammad Zain Mohd Saidin berhadapan situasi apabila isterinya dihujani pelbagai kontroversi dan isu panas sejak berkahwin pada 13 Disember 2013.

Tidakkah Zain turut berasa berang dan marah? Ibarat kata pepatah, cubit paha kanan paha kiri pun terasa.

Bertemu Zain di lokasi penggambaran telefilem khas Oh My English di Kampung Bagan Lalang, Sepang baru-baru ini, dia akui berasa kecewa, tetapi waktu sama yakin isterinya dapat menangani perkara itu dengan baik.

Katanya, sebelum ini heboh orang mengatakan isterinya ada gambar dalam keadaan tidak senonoh. Sebagai suami, dia tahu perkara itu tidak berlaku.

“Apabila Che Ta berhadapan dengan gosip dan isu kontroversi, selaku suami, perkara pertama saya lakukan ialah bertanya kepada isteri perkara itu kemudian kami bincangkan bersama.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah pula melihat isteri dalam keadaan terlalu kecewa apabila timbul satu-satu isu. Mungkin sebagai artis berpengalaman, dia tahu bagaimana mahu menanganinya.

“Dia sudah lama bergelumang dalam dunia seni, jadi dia tahu untuk berhadapan dengan setiap situasi yang timbul. Malah dia turut bersuara membabitkan kebanyakan isu yang dikaitkan dengan dirinya,” katanya.

Mengenai kontroversi yang timbul di antara Che Ta dan Edry sewaktu konsert keenam AF2015, Zain akui berada di situ, malah duduk di belakang meja pengkritik.

Katanya, sudah tentu dia dapat melihat situasi berlaku, tetapi ketika itu dia tidak pasti sama ada apa yang berlaku adalah sengaja diadakan untuk menimbulkan isu atau ia sememangnya berlaku.

“Ketika itu memang saya tidak pasti, tetapi seperti apa yang diberitahu isteri saya mahupun pengurusnya, ia memang benar-benar terjadi dan bukan sengaja dibuat-buat.

“Dalam soal ini, saya tidak mahu mengaitkan ia dengan isu maruah, sebaliknya lebih kepada melihat adakah situasi itu melampaui batas atau tidak,” katanya.

Walaupun timbul perkara kurang menyenangkan membabitkan isterinya, Zain menyifatkan ia masih lagi terkawal. Katanya, Edry tidak bersikap melampaui batas hingga tampil di pentas menghina Che Ta, malah ia disiarkan di TV.

“Sekiranya itu berlaku, saya pasti akan masuk campur,” katanya.

Mengenai isu yang timbul di antara Edry dan Che Ta, Zain akui isterinya berasa kecewa dan sedih hingga mengambil keputusan untuk menarik diri.

Kata Zain, kehadiran isterinya adalah untuk membantu produksi AF2015 dan meme­riah­kan lagi program terbabit.

“Che Ta diletakkan dalam program itu untuk menarik perhatian penonton dan saya akui ramai bersetuju kalau saya katakan, dia mempunyai aura dan apa saja yang dilakukan pasti ‘meletup’.

“Hakikatnya, dia sering menjadi tumpuan umum sama ada dalam situasi baik atau tidak,” katanya.

Kini bukan hanya Che Ta menjadi perhatian umum, malah anak mereka, Aaisyah Dhia Rania yang lahir pada 1 November 2014.

Wajah comel Aaisyah sering dikongsi Che Ta dan Zain menerusi laman sosial terutama apabila melancong ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:05 AM