KUALA LUMPUR: Kualiti udara bertambah baik apabila hanya 12 kawasan sahaja mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 9 pagi ini berbanding 22 kawasan malam tadi.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pelabuhan Klang kekal merekodkan bacaan IPU tertinggi 134 berbanding 147 malam tadi, diikuti Shah Alam (126); Banting (118); Petaling Jaya (112) dan Pasir Gudang, Johor (111).

Kawasan lain Wilayah Persekutuan Putrajaya (110); Port Dickson (108); Seremban, Kuala Selangor dan Batu Muda, Kuala Lumpur (masing-masing 106); Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai (masing-masing 102) manakala 38 kawasan lain bacaan IPU direkodkan pada tahap sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 11:35 AM
KEADAAN jerebu dengan bacaan IPU merekodkan 102 setakat 9 pagi di sekitar Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber