Kuala Lumpur: Kualiti udara di seluruh negara bertambah baik dengan kebanyakan kawasan di seluruh negara menunjukkan penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), setakat 4 petang tadi.

Menurut laman Web Jabatan Alam Sekitar (JAS), hanya empat kawasan mencatat bacaan IPU pada tahap tidak sihat petang ini, berbanding 12 kawasan, 9 pagi tadi.

Bacaan IPU tertinggi direkodkan di Pelabuhan Klang (117) diikuti Shah Alam (108), Pasir Gudang, Johor (106) dan Banting (101).

Kawasan lain pula mencatatkan IPU sederhana manakala ILP Miri dan Limbang di Sarawak kedua-dua merekodkan bacaan IPU 46 iaitu pada tahap baik.

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Bacaan IPU semasa boleh didapati di laman Web apims.doe.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:39 PM
ALOR SETAR 25 October 2015. Orang ramai kelihatan memulakan aktiviti luar setelah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 68 iaitu pada paras sederhana pada jam 3.00 petang berbanding semalam dengan IPU 108 pada paras tidak sihat ketika tinjauan keadaan jerebu di Bandaraya Alor Setar. STR/Danial Noordin