SEAN berasakan sebutan bahasa Melayu pelat ketika bintangi drama Keluarga Pontimau.
Syanty Octavia Amry


Kurang fasih berbahasa Malaysia tidak menghalang pelakon Cina, Sean Lee Jia Ern atau Sean Lje, 21, menjiwai wataknya dalam drama Keluarga Pontimau.

Dalam drama yang bersiaran di TV3 itu, Sean melakonkan watak Joe yang dilahirkan dalam keluarga berketurunan puntianak dan harimau jadian.

Bergandingan dengan Keith Foo, Marsha Milan dan Amelia Henderson, Sean gembira apabila rakan banyak membantunya bertutur dalam bahasa Malaysia dengan lebih fasih.

“Saya akui pada mulanya agak sukar dan rasa tertekan apatah lagi ini drama Melayu pertama lakonan saya. Mujur teman kuliah membantu memperbaiki sebutan bahasa Malaysia saya.

“Gementar setiap kali menonton drama ini dan ada juga beberapa dialog saya bunyinya masih pelat,” katanya yang mengikuti pengajian Diploma Seni Persembahan di Kolej Sunway.

Sean yang pertama kali beraksi dalam drama sebelum ini aktif di YouTube menerusi program sendiri yang diberi nama Sean Lje.

Melalui program itu dia banyak berkomunikasi de–ngan penonton dan berkongsi cerita pendek atau pengalaman kehidupan seharian.

“Berbeza situasi antara berlakon drama dan di YouTube. Drama menuntut masa yang panjang dan skopnya lebih besar serta mencabar.

“Di YouTube saya hanya bercakap seorang diri dan berkongsi cerita dengan penonton.

“Banyak yang saya belajar menerusi drama ini malah bangga dapat bekerjasama dengan ramai pelakon hebat. Kru pun banyak membantu dan ia satu pengalaman berharga buat saya.

“Diharap selepas ini diberi peluang untuk terus mencanai bakat sebagai pelakon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 5:01 AM