WINGS bersama artis undangan serta kumpulan indie yang akan terbabit dengan konsert mereka.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Konsert Wings 30 Tahun yang akan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, Sabtu ini semakin diperkatakan terutama dalam kalangan peminat Wings.

Difahamkan, sehingga kini lebih 60 peratus tiket berharga RM285 sudah terjual, manakala tiket berharga RM85 terjual 7,000 keping.

Konsert istimewa ini bukan saja menampilkan Wings yang dianggotai Awie (penyanyi), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram), tetapi turut mengetengahkan penyanyi popular tanah air seperti Datuk M Nasir, Amy Search, Datuk Hattan, Ella, Nash Lefthanded, Ito Blues Gang, Azlan Typewriter dan One Nation Emcee.

Mereka antara artis lama dan baru yang banyak memberi semangat dan inspirasi terhadap perjuangan muzik Wings.

Pemilihan mereka dirasakan bersesuaian dengan konsep konsert ini yang mengimbas kegemilangan muzik rock yang mencipta fenomena tersendiri pada pertengahan 1980-an.

Turut tampil sebagai penyanyi jemputan ialah finalis Akademi Fantasia 2015, Bila yang juga anak kepada Eddie.

Bila ketika ditemui melahirkan perasaan terujanya apabila berpeluang beraksi di konsert yang bakal mencatat sejarah tersendiri ini.

“Ini konsert terbesar yang saya terbabit dan akan beraksi bersama Superfriend menyampaikan lagu Lena Diulit Intan. Tak dinafikan perasaan saya berdebar dan teruja menanti tarikh itu.

“Sebelum ini saya hanya terbabit sebagai penyanyi latar untuk Wings, kali ini saya pula ke depan untuk beraksi pada konsert yang bersejarah buat mereka. Lagipun saya juga sebahagian daripada Wings.

“Saya begitu menghargai peluang untuk beraksi dalam konsert sebesar ini. Ia bukan kerana bapa saya, tapi kerana bakat dan kemampuan saya sendiri. Saya memang tak ambil peduli jika ada yang mengaitkan saya dengan perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Ito juga teruja apabila diundang membuat persembahan bersama Wings.

“Saya rasa bertuah dapat bersama Wings di Stadium Merdeka kerana saya kenal mereka sejak remaja lagi. Stadium Merdeka pula bukan asing buat saya kerana pernah beraksi bersama Blues Gang dan Sweet Charity beberapa tahun lalu,” katanya.

Hattan pula begitu akrab dengan anggota Wings dan pernah tinggal bersama mereka ketika mula-mula mencari tapak dalam bidang nyanyian.

“Hubungan kami seperti ‘brader-brader’. Jadi, saya setuju apabila dipanggil terbabit untuk konsert ini. Kami lalui zaman susah bersama dan ketika rakaman album Hukum Karma, saya turut berada di studio bersama mereka.

“Wings memang pukul habis semua tawaran show di ‘funfair’ dahulu. Apabila Awie mengambil keputusan mengundur diri, saya bantu anggota lain dengan me­nyampaikan lagu Dia untuk album Opera Dalam Kena­ngan Wings & Superfriends,” katanya yang akan menyampaikan lagu terbabit dalam konsert itu nanti.

Selain itu, konsert terbabit turut menampilkan 12 kumpulan indie pada sebelah petang seperti The C.O.W, Temjin, Cryo Inferno, Mim Band, Farasu, The Violet, Melayu, Dethmode, Suwara, Electric 5, Topeng dan Anthem.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 5:02 AM