SOO menunjukkan cara mengukur saiz coli yang betul.
SOO menunjukkan pelbagai saiz prostesis.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Saat disahkan menghidap barah payudara pastinya memberi tamparan hebat buat wanita apatah lagi jika terpaksa menjalani mastektomi atau pembedahan membuang organ itu.

Pastinya pesakit berkenaan berasa kurang sempurna apabila kehilangan anggota tubuh yang dianggap aset seorang wanita.

Walaupun cuba berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku, sedikit sebanyak terselit rasa kurang yakin apabila berdepan masyarakat lebih-lebih lagi jika tiada pakaian dalam yang sesuai untuk menyembunyikan kekurangan mereka.

Menyedari kekurangan dirasakan wanita yang menjalani mastektomi, jenama pakaian dalam Wacoal tampil dengan penyelesaian kepada masalah itu menerusi inovasi pakaian dalam khusus untuk mereka, Remamma.

Komited dalam membantu wanita dengan penghasilan coli khas itu sejak lebih 40 tahun lalu, rasa kurang yakin, tidak berupaya dan kurang sempurna dialami kebanyakan wanita yang sudah menjalani pembedahan mastektomi dapat dikurangkan.

Remamma bukan saja dapat membantu mereka mengembalikan semula kewanitaan malah keyakinan diri untuk hidup seperti biasa. Perbezaan antara Remamma dan coli biasa adalah ia dijahit dengan poket khas untuk dimuatkan prostesis selain bahan dan reka bentuk memenuhi keperluan pesakit kanser payudara.

Remamma yang direka khusus untuk wanita yang menjalani pembedahan mastektomi itu ringan, tidak bertoksid, dilapisi serat poliester dan bahagian dalamnya meresap lembapan. Permukaan urethane coli ini juga memberikan kesan sejuk.

Menggunakan teknologi terkini, coli yang lahir kesan peningkatan penyakit kanser payudara dan mastektomi dalam kalangan wanita Jepun menimbulkan ilham kepada Wacoal mencipta coli khusus untuk mereka.

Pengurus Bantuan Barangan Wacoal Soo Yin Mee berkata, Remamma datang dalam beberapa ukuran coli dan prostesis bagi keselesaan dan keyakinan wanita yang memakainya.

Katanya, prostesis Remamma dibuat daripada gentian telap dan silikon dari saiz satu hingga lima dengan berat antara 100 ke 230 gram bergantung keperluan individu. Ia mempunyai struktur yang ringan dan selesa.

“Coli Remamma direka dengan potongan yang lebih tinggi di tengah untuk memberikan sokongan lebih kukuh selain poket khas pada bahagian dalam coli supaya dapat memegang dan menyokong prostesis bagi memberi pemakai kebebasan bergerak.

“Setiap elemen dalam coli ini membolehkan wanita merasai keselesaan dan bentuk asal payudara. Terdapat beberapa pilihan coli yang menarik seperti bermotif bunga atau renda bagi memberi keyakinan buat pemakai.

“Sarung prostesis pula diperbuat daripada kapas bagi melindungi prostesis daripada lapisan kotoran dan noda serta boleh dibasuh,” katanya.

Dari segi penjagaan produk itu katanya, prostesis boleh dibersihkan dengan kain lembap dan disimpan kering. Prostesis tidak boleh dibasuh cara biasa seperti mencuci pakaian kerana ia akan merosakkannya.

Bagi coli Remamma pula, ia perlu dibersihkan dengan cucian tangan secara perlahan-lahan dan tidak digalakkan dicuci dengan mesin basuh. Manakala sarung prostesis juga memerlukan cucian tangan dengan bahan pencuci yang lembut.

“Untuk tujuan kebersihan, elakkan daripada menggunakan prostesis yang mempunyai noda. Tukar yang baru jika noda kekal. Kain lembap boleh digunakan untuk membersihkan permukaan prostesis perlahan-lahan.

“Selain itu, pastikan prostesis disimpan dalam bekas khas apabila tidak digunakan. Ini untuk memastikan prostesis tidak berubah bentuk dan mengikut bentuk acuan yang disediakan dalam selongsong,” katanya.

Soo berkata, keselesaan adalah faktor paling penting yang perlu dipertimbangkan. Justeru, kakitangan Wacoal adalah terlatih, berpengalaman dan bersedia untuk membantu wanita dalam mencari coli yang betul.

Harga bagi produk Remamma berbeza mengikut saiz dan reka bentuk. Untuk mendapatkan maklumat lanjut sila layari www.wacoal.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 11:29 AM