Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memandang serius dan sedang membuat siasatan terperinci mengenai kejadian bateri vape atau rokok elektronik yang terbakar di dalam pesawat Malindo Air OD1003 pada Sabtu lalu.

Ketua Pengarah DCA Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, berdasarkan kepada ‘Technical Instructions for the Safe Transport of Dangerous Good ByAir (ICAO Doc 9284)’ yang dikeluarkan oleh ‘International Civil Aviation Organization (ICAO)’, penumpang dan krew penerbangan dilarang daripada membawa ‘battery powered portable electronic smoking devices' yang termasuk rokok elektronik di dalam bagasi daftar masuk.

Beliau berkata, penumpang dan krew juga dilarang mengecas peralatan berkenaan di dalam kabin penerbangan.

"Bateri hendaklah dipisahkan daripada 'battery-powered portable electronic smoking devices' dan bateri tersebut hendaklah disimpan dalam bekas penyimpanan yang sewajarnya," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini petang tadi.

Katanya, larangan berkenaan hendaklah dipatuhi oleh syarikat penerbangan, krew dan penumpang supaya insiden seperti yang dilaporkan itu tidak berulang pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 4:26 PM