LELA (kiri) mengadu sakit belakang.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Jurulatih terjun negara Yang Zhuliang menyuarakan kebimbangan dengan kecederaan belakang Pandelela Rinong meskipun atlet berusia 22 tahun itu tetap bersama pasukan negara ke Kejohanan Grand Prix FINA Australia bermula Khamis ini.

Beliau berkata, skuad negara kini dihimpit masalah kecederaan namun apa yang lebih membimbangkan situasi terkini Pandelela.

“Kecederaan atlet lain tidak serius jadi saya tidak bimbang. Apa yang saya bimbangkan keadaan Pandelela.

“Secara jujur ini kali pertama dalam kariernya dia mengadu sakit belakang kepada saya. Sepanjang saya mengenalinya, dia sangat kuat untuk bertanding walaupun dalam kesakitan.

“Saya bimbang dengan keadaannya tapi dia akan tetap bersama kami ke Australia bagi kejohanan GP minggu ini,” katanya.

Pandelela yang sudah layak ke Sukan Olimpik Rio tahun depan tidak beraksi di Grand Prix FINA di Bukit Jalil minggu lalu akibat kecederaan itu.

Selain atlet kelahiran Sarawak itu, turut mengalami kecederaan Ooi Tze Liang, Wendy Ng Yang Yee dan Leong Mun Yee.

Walaupun tanpa nama besar itu, skuad terjun negara masih mampu mengumpul tiga pingat emas dan tiga perak dalam kejohanan Grand Prix yang berakhir semalam.

Nur Dhabitah Sabri yang menyerlah dengan meraih dua emas di kejohanan itu bakal menjadi pertaruhan terbaik Zhuliang di Grand Prix Australia.

“Dia (Dhabitah) boleh terjun dalam acara 3m papan anjal, 3m seirama, 10m platform, 10m seirama dan campuran seirama.

“Setakat ini dia satu-satunya penerjun yang boleh mengambil bahagian dalam semua acara. Jadi kami memerlukan lebih ramai penerjun sepertinya.

“Tapi saya tidak membandingkan dia dengan Pandelela kerana dia masih muda dan perlu lebih banyak pengalaman,” katanya.

Skuad terjun negara berlepas ke Australia semalam dengan Mun Yee dan Tze Liang tidak ikut bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 9:39 AM