ZIZAN anggap gosip dia tidak boleh bekerjasama dengan Kamal Adli sebagai mengarut.
Oleh Wahi Aziz


Pelawak dan pengacara popular, Zizan Razak tidak cepat melatah dengan dakwaan kononnya tidak boleh bekerjasama dengan Kamal Adli dalam filem Abang Long Fadil 2 yang dijangka memulakan penggambaran tidak lama lagi.

Ketika diajukan perkara itu, tiada reaksi terkejut atau kurang senang pada wajah pemilik nama penuh Mohd Razizan Abdul Razak ini.

Baginya yang sudah berdepan pelbagai kontroversi sejak awal tahun ini, tuduhan terbaru itu gosip tidak logik untuk dibangkitkan.

“Macam mana pula boleh timbul cerita itu? Siapalah saya untuk menentukan dengan siapa boleh bekerja? Saya hanya pelakon yang buat kerja kerana dibayar.

“Saya bukannya produser yang boleh menentukan siapa barisan pelakon pilihan hati. Ini benda mengarut dan tidak masuk akal langsung,” katanya.

Zizan berkata, jika benar dakwaan Kamal namanya digugurkan daripada senarai pelakon Abang Long Fadil 2, ia keputusan penerbit filem itu dan tiada kaitan dengannya.

“Saya malas nak layan atau fikir hal ini. Kalau betul benda (pengguguran Kamal) itu berlaku ia tiada kena-mengena de­ngan saya sebab bukan saya yang menerbitkan Abang Long Fadil 2.

“Macam saya katakan tadi, saya dibayar penerbit untuk berlakon. Jadi saya hanya buat kerja saya. Lebih daripada itu, saya tidak tahu atau campur tangan pun,” katanya.

Bintang filem Polis Evo ini berkata, selepas dilanda pelbagai kontroversi fokusnya hanyalah pada karier.

“Saya selesa dengan kehidupan sekarang. Hanya fokus pada kerja. Lain-lain hal saya tidak mahu fikirkan sangat kerana tidak mahu ada apa-apa masalah.

“Untuk kes ini, saya tidak mahu ulas panjang sebab ia tidak berasas dan diperkatakan secara tiba-tiba,” katanya.

Kontroversi tercetus apabila Kamal dilaporkan mendakwa namanya dipercayai digugurkan daripada senarai pelakon filem arahan Syafiq Yusof itu disebabkan Zizan tidak mahu mereka bergandingan.

Difahamkan, perkara itu timbul kononnya kerana Zizan tidak berpuas hati dengan Kamal yang dianggap punca perpisahannya dengan aktres Emma Maembong, awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 11:13 AM