Keadaan banjir yang melanda kawasan di Kota Bharu, Kelantan, tahun lalu. - Foto NSTP (Fail)
Keadaan banjir yang melanda kawasan di Kota Bharu, Kelantan, tahun lalu. - Foto NSTP (Fail)

Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (Mosti) menjangka banjir bulan depan tidak seteruk tahun lalu.

Menterinya Datuk Seri Madius Tangau berkata ini kerana musim tengkujuh yang diramal bulan depan tidak seteruk berbanding tahun lalu berikutan fenomena El Nino akan mengurangkan risiko banjir teruk.

"Tahun ini penyelamat kita sebenarnya ialah El Nino ... ekoran peningkatan kepanasan di kawasan Lautan Pasifik dan ini akan membantu menyederhanakan tengkujuh.

"Jadi kita ramal tahun ini banjir memang ada tetapi tidak lagi seteruk tahun lalu," katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Teknologi dan Aplikasi Dalam Pengurusan Bencana (TADMIC) 2015 di sini, hari ini.

Menurut Madius, kementeriannya sudah membuat persediaan menghadapi kemungkinan banjir pada tahun ini dengan menyalurkan input dan bantuan diperlukan kepada pihak yang bertanggungjawab.

"Kami akan memberi data mengenai iklim dan keadaan semasa kepada pihak yang bertanggungjawab seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) supaya persediaan awal boleh dibuat, terutamanya di tempat berisiko tinggi seperti di Pantai Timur," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 8:37 PM