Singapura: Flavia Pennetta (gambar) menghidupkan peluang merangkul gelaran terakhir musim ini apabila menewaskan pemain Poland Agnieszka Radwanska 7-6 (7/5), 6-4 di Pusingan Akhir WTA di Singapura.

Pemain Itali berusia 33 tahun itu yang mengumumkan persaraannya hujung musim ini selepas memenangi Grand Slam pertamanya di Terbuka AS, mempamer aksi agresif mengatasi kedegilan Agnieszka.

“Saya cuba menumpukan sepenuh perhatian dengan bermain agresif dan memukul bola kuat supaya tidak memberi banyak masa kepada lawan,” kata Flavia. “Servis saya banyak membantu hari ini.”

Flavia berkata, dia lebih seronok dan menikmati permainannya selepas membuat pengumuman mengenai persaraannya.

“Ini kejohanan terakhir musim ini. Ini saat terakhir untuk saya dan ia amat istimewa,” katanya.

“Saya berasa seperti bermain di final Grand Slam dan untuk itu, saya perlu berusaha sebaik mungkin.”

Agnieszka yang juga pilihan kelima, menjuarai Terbuka Pan Pacific di Tokyo serta Terbuka Tianjin sebelum ke Singapura tapi kini berdepan penyingkiran dalam Kumpulan Merah jika pilihan utama Simona Halep menundukkan Maria Sharapova.

Flavia akan menentang Maria bagi merebut tempat kedua kumpulan di kejohanan yang menampilkan lapan pemain terbaik dunia tetapi pemain nombor satu Serena Williams menarik diri.

Kelmarin, Simona mengalahkan Flavia 6-0, 6-3 manakala Agnieszka tewas tiga set kepada Maria. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 10:14 AM