KENCING yang tidak boleh dikawal perlu mendapat penilaian daripada doktor.
KENCING yang tidak boleh dikawal perlu mendapat penilaian daripada doktor.

Kebanyakan ibu bapa mula bimbang apabila ada antara anak mereka yang sudah berusia empat tahun ke atas masih menghadapi masalah kencing malam.

Kencing malam atau dalam istilah perubatannya enuresis ialah satu keadaan yang dihadapi oleh kanak-kanak apabila mereka kencing tanpa disedari semasa tidur.

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, kebanyakan kanak-kanak berhenti kencing malam selepas berumur lima atau enam tahun.

Namun, ada juga kajian menunjukkkan 10 hingga 15 peratus daripada kanak-kanak yang berumur lima ke 12 tahun masih terus kencing malam walaupun mereka tiada masalah dalam sistem buah pinggang.

Kajian menunjukkan di Malaysia masih terdapat kira-kira 6.2 peratus daripada kanak-kanak yang berumur tujuh hingga 12 tahun masih kencing malam.

Kencing malam tidak perlu dibimbangi jika ia hanya berlaku pada waktu malam saja tanpa tanda penyakit lain. Namun, kencing malam boleh mengakibatkan perasaan rendah diri dalam kalangan kanak-kanak.

Perasaan itu sendiri boleh menyebabkan faktor risiko untuk masalah psikiatri dan sosial yang lain. Biarpun masalah ini boleh menimbulkan tekanan di dalam keluarga, kencing malam akan berkurangan dan kemungkinan hilang apabila umur si kecil meningkat.

Kencing malam boleh berpunca daripada:

- Ruang pundi kencing yang kecil.

- Gangguan tidur. Kebanyakan pesakit yang kencing malam dikatakan tidur terlalu nyenyak. Namun, tiada bukti kukuh untuk menyokong pernyataan ini.

- Kurang penghasilan hormon yang dipanggil vasopressin semasa tidur. Vassopressin penting untuk mengurangkan penghasilan kencing pada waktu malam.

Terdapat beberapa jenis kencing malam. Antaranya:

1. Kencing hanya pada waktu malam dalam kalangan kanak-kanak yang tiada masalah lain (primary nokturnal enuresis).

2. Kencing pada waktu malam dan siang hari (tidak boleh mengawal kencing). Ia perlu mendapat penilaian daripada doktor untuk mengesan sebab yang lain.

3. Sebab gangguan lain yang boleh menyebabkan kencing malam (secondary enuresis) ialah jangkitan pada pundi kencing, masalah saraf tunjang, pundi kencing yang tidak normal dan masalah metabolisma seperti kencing manis.

Selalunya keadaan seperti ini akan menunjukkan tanda lain selain daripada kencing malam.

Beberapa cara rawatan bagi mengatasi masalah kencing malam yang biasa. Antaranya:

1. Mengubah sikap misalnya, memberi ganjaran kepada anak sekirannya dia tidak kencing malam.

2. Loceng kencing malam yang boleh membangunkan anak setiap kali waktu kencing (tidak banyak terdapat di Malaysia).

3. Ubat-ubatan untuk membantu anak kekal kering semasa tidur. Namun, perlu dapatkan bantuan doktor mengenai perkara ini.

Cara lain yang boleh membantu:

1. Jangan salahkan anak kerana ini bukanlah satu kesalahan sengaja yang dilakukan. Bercakap mengenai perkara ini secara terbuka dengan anak.

2. Kurangkan minum di waktu petang dan malam.

3. Bangunkan atau angkat anak di tengah malam untuk kencing. Cara ini boleh mengelak kencing malam tetapi tidak boleh menyembuhkan enuresis.

4. Gunakan lapik tilam yang kalis air.

5. Letak pewangi bilik.

6. Mandi pada waktu pagi sebelum ke sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 10:54 AM