Oleh Amrullah Abdul Karim


Kuala Kubu Bharu: Operasi mencari guru besar sekolah rendah di Kuala Lumpur yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman Seri Seruling, dekat sini sejak Jumaat lalu diteruskan pagi ini.

Operasi bermula 9 pagi itu tertumpu di kawasan perkampungan Orang Asli Buloh Telur dan kaki Bukit Kutu meliputi skala pencarian yang lebih besar.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu P Kireetharan berkata, operasi dilakukan bersama polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perhutanan, RELA serta penduduk kampung.

"Operasi hari ini masuk hari ketiga pencarian selepas bermula Isnin lalu.

"Mangsa dipercayai berada di kawasan sekitar kampung Orang Asli ini dan kawasan pencarian turut kita lakukan di setiap rumah penduduk," katanya.

Menurutnya, pasukan mencari dipecahkan kepada beberapa lokasi pencarian termasuk di kawasan kebun getah dan belukar.

Guru besar berkenaan Jashiah Rabu, 53, disedari hilang dari rumahnya oleh suaminya Ruzilan Omar, 57.

Ketika pulang ke rumah selepas mengambil anak mereka di Rawang kira-kira 3 petang, Ruzilan mendapati isterinya tiada dengan pintu pagar terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 2:14 PM
OPERASI pencarian dilakukan bersama polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perhutanan, RELA serta penduduk kampung. FOTO Amrullah Abdul Karim
OPERASI pencarian dilakukan bersama polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perhutanan, RELA serta penduduk kampung. FOTO Amrullah Abdul Karim