SAM (tengah) fokus untuk promosi jelajah sebelum berkahwin.
Syanty Octavia Amry

Selepas membuat pengumuman mengenai status dirinya yang sudah bertunang, penyanyi Bunkface, Sam, 27, tidak berani meletakkan tarikh bila dia akan berkahwin berikutan sibuk mengadakan jelajah mempromosikan album ketiga mereka berjudul Malam Ini Kita Punya.

Memilih universiti yang terdapat di Malaysia sebagai lokasi jelajah, Bunkface turut gembira apabila muzik video lagu Malam Ini Kita Punya sudahpun siap dihasilkan.

Sam ketika ditemui berkata, semuanya berlaku secara serentak membuatkan dia harus bijak menyusun jadual bagi memastikan apa yang dirancang berjalan lancar.

"Sebenarnya pertunangan ini berlaku tanpa diduga di mana ketika datang ke rumah keluarga tunangnya di Masjid Tanah, Melaka, niat asal keluarga saya untuk merisik sahaja.

"Namun apabila majlis selesai, keluarga datang kepada saya dan mengucapkan tahniah kerana saya sudah bertunang.

"Meskipun terkejut, saya gembira kerana semuanya berjalan lancar.

"Oleh itu, saya tidak berani meletakkan sebarang sasaran, namun berharap jika jelajah promosi ini selesai barulah saya boleh fokus terhadap perkahwinan saya," katanya.

Sam berkata, perancangan jelajah promosi ini mungkin mengambil masa setahun dan selepas itu barulah dia memikirkan perancangan untuk berkahwin.

Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharom bertunang dengan Aida Azira Hussin, 27, seorang penerbit rancangan di TV3 pada 6 Oktober lalu.

Pertunangan yang dibuat secara sederhana itu hanya dihadiri keluarga terdekat saja.

Mereka berkenalan selama empat tahun sebelum masing-masing memutuskan untuk menjadi pasangan kekasih dua tahun kemudiannya.

Sam berkata, pengumuman ini dibuat bagi mengelakkan kekeliruan dan khabar angin yang tidak tepat mengenai hubungan mereka.

"Saya mendedahkan perkara ini bagi menjelaskan status hubungan kami yang selama ini menjadi tanda tanya. Kasihan juga pada Aida yang terpaksa menjawab pertanyaan ramai pihak," katanya.

Mengulas mengenai muzik video Malam Ini Kita Punya, kumpulan ini berpuas hati apabila selepas dua bulan menanti ia siap seperti yang diharapkan.

"Kami puas hati selepas melihat hasilnya. Konsep juga berkaitan dengan lagu di mana penggambaran dilakukan pada waktu malam sehingga awal pagi.

"Dengan berlatarbelakangkan kota metropolitan Kuala Lumpur, kami yakin muzik video ini menepati cita rasa anak muda masa kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:03 AM