PANG (tengah) bersama pengasas Societe Family pada pelancaran minuman ‘Messed Up Family’.
PANG (tengah) bersama pengasas Societe Family pada pelancaran minuman ‘Messed Up Family’.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: MAMEE-Double Decker (M) Bhd (Mamee), pengeluar snek terbesar Malaysia melabur kira-kira RM100 juta untuk membangunkan kilang pengeluaran di Arab Saudi yang juga kilang pertama di Timur Tengah dan ketiga di luar Malaysia.

Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Kumpulannya, Pierre Pang berkata, memandangkan pensijilan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diperakui dan diterima baik negara lain, pihaknya yakin terdapat potensi besar bagi syarikat Malaysia untuk meneroka pasaran di rantau itu.

“Setakat ini, kami mempunyai tiga kilang di Malaysia, Myanmar dan Indonesia. Sebagai syarikat persendirian, kumpulan menyasar untuk disenaraikan semula dalam Bursa Malaysia dalam tempoh dua tahun dari sekarang sebagai syarikat serantau.

“Kami tidak menolak kemungkinan penyenaraian di bursa saham selain Bursa Malaysia bergantung kepada pasaran yang diteroka kumpulan termasuk Singapura dan Hong Kong,” katanya selepas pelancaran minuman ‘Messed Up Family with Mamee Group’, baru-baru ini.

Menurutnya, syarikat menjangka mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 20 hingga 25 peratus tahun ini, melepasi sasaran pertumbuhan tahun sebelumnya sebanyak 15 peratus.

“Bagi kumpulan Mamee, kami telah menjana jualan hampir RM800 juta tahun ini di mana segmen pasaran Malaysia.

“Untuk tempoh sebulan di pasaran domestik, jenama Mamee Monster menerajui daripada aspek jumlah paket dengan 25 juta paket berjaya dijual manakala Mister Potato mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada segi nilainya,” katanya.

Kini, lebih 300 produk Mamee dieksport ke lebih 80 negara selain merekodkan nilai eksport tahunan berjumlah RM30 juta bagi pasaran terbesar di luar Malaysia iaitu Australia.

Sementara itu, Pengarah Societe Family, Choong Kar Wai berkata, syarikat menyasarkan untuk menjual kira-kira 42 botol minuman baru, ‘Messed Up Family’ dalam masa sejam ketika waktu kemuncak.

Penggunaan dan penambahan Mamee Monster dan Perfecto Popcorn ke dalam minuman bakal menarik perhatian pelanggan dan kumpulan tidak ragu-ragu untuk menjadikannya sebagai hidangan tetap dalam menu untuk beberapa konsep cafe lain termasuk Garage 51, Underground Societe dan Procaffeinating.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 6:12 AM