KEADAAN satu kawasan hutan yang terbakar dipercayai lokasi satu objek misteri jatuh dari langit.
KEADAAN satu kawasan hutan yang terbakar dipercayai lokasi satu objek misteri jatuh dari langit.

Bengkulu: Satu kawasan hutan berhampiran Desa Pelalo di Rejang dekat sini ditemui terbakar dipercayai lokasi satu objek misteri yang dilihat jatuh dari langit.

Kawasan hutan tebal itu ditemui terbakar sekumpulan penduduk semalam yang mencari lokasi satu objek misteri yang dilihat penduduk jatuh dari langit.

Objek misteri dan berapi itu dilihat jatuh dari langit pada malam kelmarin dan mengeluarkan bunyi letupan yang kuat.

“Saya melihat satu objek berapi yang besar seperti meteor jatuh dari langit terus ke kawasan hutan berkenaan,” kata seorang penduduk, Tuafq.

Katanya, apabila objek itu jatuh ke bumi dia mendengar bunyi letupan yang kuat disusuli dengan gegaran.

“Ketika kejadian saya tidur dan terkejut apabila terdengar letupan yang kuat serta menyebabkan rumah saya bergegar,” kata seorang lagi penduduk, Mulkimin.

Penduduk dan polis melancarkan operasi mengesan punca letupan berkenaan kerana bimbang ia mungkin pesawat yang terhempas.

Seorang anggota polis, Sugi Mulyanto yang menyertai operasi itu mengesahkan ada kawasan hutan yang terbakar. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 6:36 AM