Kuala Lumpur: Peluang atlet gimnastik wanita kebangsaan, Farah Ann Abdul Hadi (gambar) menyertai Sukan Olimpik Rio masih terbuka apabila perlu menyerlah pada acara ujian Pra-Olimpik.

Atlet berusia 21 tahun kelahiran Selangor itu kini perlu menduduki salah satu daripada 24 tempat teratas ujian akhir kelayakan yang dijadual berlangsung di Brazil dari 16 hingga 24 April 2016.

Farah Ann gagal melayakkan diri secara automatik ke temasya sukan terbesar dunia itu apabila hanya menduduki tempat ke-69 daripada 191 atlet gimnastik yang bersaing pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia Ke-46 di SSE Hydro Arena di Glasgow, Scotland, Selasa lalu.

Menurut laman sesawang Persekutuan Gimnastik Antarabangsa www.fig-gymnastics.com, Farah Ann mengumpul 51.965 mata keseluruhan individu membabitkan acara lombol, palang bertingkat, batang titian, dan senam lantai.

Dua lagi gimnas negara Tracia Ng dan Tan Ing Yueh masing-masing menduduki tempat ke-82 dan ke-140 dengan mengumpul 51.131 dan 47.599 mata.

Mengikut peraturan FIG, lapan atlet gimnastik teratas dan lapan pasukan terbaik daripada Kejohanan Dunia itu secara automatik mendapat tempat di Rio, manakala atlet lain perlu bersaing dalam Pra-Olimpik untuk tempat
di temasya empat tahun sekali itu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 9:14 AM
Digital NSTP Subscribe