X
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Pasukan AIFF India terikat 1-1 dengan kelab Jepun Kashima Antlers pada aksi separuh akhir pertama Trofi Liga Juara-Juara Asia di Stadium Hang Tuah petang semalam.

Aksi seimbang kedua-dua pasukan yang dilihat lebih berhati-hati pada awal permainan menyaksikan barisan benteng pertahanan masing-masing pantas menutup ruang bagi mengelak gawang daripada dibocori.

Bagaimanapun, Kashima meledak gol pertama mereka seawal minit ke-18 menerusi sentuhan Koyo Matsuura untuk skuad ‘Matahari Terbit’ ceria seketika.

Namun, skuad kebangsaan Bawah 18 tahun India itu menjaringkan gol penyamaan seminit selepas itu menerusi Oram Rakesh untuk kembali mengimbangi perlawanan.

Selepas jaringan itu, sentuhan barisan depan pemain Kashima Antlers dan AIFF India gagal melakukan jaringan tambahan sehingga berakhir 90 minit perlawanan.

Dua skuad terbabit bakal sekali lagi bertembung bagi saingan separuh akhir kedua pada 4 November.

Satu lagi perlawanan separuh akhir membabitkan Frenz United A bertemu Frenz United B.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 9:25 AM