Antara kanak-kanak yang mengemis di Masjid India, Kuala Lumpur, biasnya rakyat asing. - Foto NSTP (Fail)
Antara kanak-kanak yang mengemis di Masjid India, Kuala Lumpur, biasnya rakyat asing. - Foto NSTP (Fail)

Kuala Lumpur: Ibu bapa yang didapati menggunakan anak mereka untuk mengemis akan diambil tindakan tegas mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata ibu bapa tidak sepatutnya menggunakan anak mereka untuk mengemis.

"Ini amaran, kita akan ambil tindakan terhadap mereka (ibu bapa) kerana mereka tidak boleh guna anak mereka untuk mengemis," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang menggesa tindakan diambil terhadap ibu bapa yang membawa anak ketika mengemis. Menurut Akta Kanak-Kanak 2001, ibu bapa yang melakukan kesalahan, jika disabit kesalahan boleh dikenakan tindakan penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Menjawab soalan Azeez mengenai sindiket mengemis yang dikatakan berleluasa di seluruh negara, Azizah berkata sehingga kini kementeriannya tidak mempunyai bukti kukuh terdapat sindiket itu.

“Bila kita adakan operasi yang berterusan, susah untuk kita mendapatkan bukti ada sindiket dalam aktiviti ini, mereka amat licik kalau kita nak tangkap," katanya.

Justeru beliau menyeru pihak yang mempunyai bukti supaya tampil membantu kementerian dan agensi berkaitan membanteras masalah itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 8:05 PM