Jenazah Muhammad Indra dituntut keluarganya. FOTO Ahmad Othman
Oleh Ahmad Othman


Kota Tinggi: Budak lelaki berusia dua tahun ditemui lemas dalam pembetung kumbahan di belakang rumah datuknya di Felda Simpang Waha, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, Muhammad Indra Hakimi Jalaludin dipercayai terjatuh ke dalam pembetung itu kira-kira 4 petang.

Katanya, kehilangan kanak-kanak itu disedari ibu bapa mangsa yang mendapati dia tiada di dalam rumah.

"Ketika ibu bapa kanak-kanak itu mencari di belakang rumah, mereka mendapati lubang pembetung najis yang berada di luar rumah terbuka.

"Curiga sesuatu menimpa mangsa, pasangan terbabit meraba lubang itu dan menemui anak mereka," katanya.

Menurut Rahmat, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Waha dan disahkan meninggal dunia sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

Hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati punca kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan lemas dan tiada elemen unsur jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 8:45 PM