ABU Samah (empat dari kanan) ketika melancarkan Jelajah Malaysia edisi ke-51 di Dewan Komanwel MSN, Bukit Jalil.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Acara berbasikal dijangka memberikan sumbangan terbesar pungutan pingat emas keseluruhan kontinjen negara di Sukan SEA 2017 apabila Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mencadangkan 32 acara dipertandingkan di temasya itu.

Sebanyak 32 acara dicadangkan dengan 18 membabitkan acara trek dan skuad negara dijangka mendominasi berdasarkan kemampuan pelumba negara yang kini bertaraf dunia.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab tanpa berselindung mempertaruhkan persembahan cemerlang pelumba trek negara ketika mencadangkan acara dipertandingkan pada saingan yang dijangka berlangsung di velodrom baru di Nilai, Negeri Sembilan.

“Kita mampu meraih lebih banyak pingat daripada yang diperoleh di Indonesia dulu. Namun pada masa sama, kita tidak boleh memandang rendah keupayaan negara lain terutama Thailand.

“Saya perhatikan terdapat peningkatan yang mereka pamerkan terutama dalam perlumbaan mata dan scratch. Program mereka juga dilihat tersusun,” katanya.

Malaysia menerusi pelumba trek negara meraih tujuh emas di Sukan SEA 2011 Indonesia.

“Sebelum meninggalkan PKBM, saya mengharapkan pingat yang banyak mampu diraih pelumba negara,” tambahnya.

Turut dipertandingkan acara lebuh raya, basikal bukit dan BMX. Cadangan acara itu akan diserahkan minggu depan.

Malaysia meletakkan sasaran muncul juara keseluruhan Sukan SEA edisi ke-29 yang dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 7:50 AM