CLAUDIA Ochoa Felix.
CLAUDIA memiliki pengawal peribadi bagi melindunginya daripada pembunuh upahan.
RIFEL AK-47 merah jambu yang ditempah khas.
GEMAR berselfie dengan memuncungkan mulutnya.
GAYA seksi bersama senjata api.
Susunan Siti Salmiah A Hamid


Claudia Ochoa Felix bukan sahaja dikenali dengan tubuhnya yang seksi, suka memuncungkan bibir ketika berselfie sebelum memuat naiknya ke Twitter, malah kerana mengetuai kumpulan pembunuh paling kejam di dunia.

Sebagai ibu muda dengan wajah menawan, tubuh montok dan bibir bak disengat lebah, dia boleh disamakan dengan semua yang ada pada bintang realiti Kim Kardashian.

Claudia, 27, juga menjalani kehidupan seorang jutawan dengan memiliki kumpulan pengawal peribadi.

Namun, tidak seperti pengawal peribadi di Amerika Syarikat, pasukan bersenjata untuk wanita cantik Mexico ini tidak melindunginya daripada peminat taasub, tetapi daripada pembunuh upahan.

Ini kerana dia menjadi ketua gengster paling kejam terbaru di dunia menerusi skuad pembunuh Los Antrax yang bertanggungjawab terhadap ratusan kes pembunuhan seperti skuad pembunuh upahan kartel dadah Sinaloa.

Geng Mexico itu dikenal pasti oleh ejen perisikan Amerika sebagai organisasi pengedaran dadah paling berkuasa di dunia kerana pembunuh upahan kumpulan itu sangat ditakuti dan diakui sebagai pembunuh paling dahsyat di dunia.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mereka dikaitkan dengan kes tiga mayat beku yang digantung dari jambatan, lapan orang ditembak ketika bermain bola tampar dan pertempuran bersenjata dengan pesaing yang mengakibatkan 30 kematian.

Bagaimanapun, selepas ketua Los Antrax, Jose Rodrigo Arechiga Gamboa yang dikenali sebagai El Chino ditangkap, teman wanita yang dicintainya, Claudia dikatakan diangkat sebagai ketua baru bagi menggantikannya.

Selepas itu, setiap langkah wanita ini dipapar di media sosial kerana dia kerap menyiarkan aksi dirinya yang berkasut tumit tinggi ‘membelai’ senapang automatik merah jambu AK-47 yang ditempah khas, berbaring di antara lelaki bertopeng dan bergambar bersama rifal M16 pada pinggul montoknya.

Gambaran kehidupan narkotik dan narsisisme itu melemahkan penafiannya bahawa dia ialah La Emperatriz de Los Antrax atau Maharani Los Antrax.

Dikenali sebagai Kim Kardashian Mexico, ibu kepada tiga cahaya mata ini mula dikenali dengan reputasi buruk selepas dia tersalah lapor mengenai dirinya yang diseksa dan dibunuh.

Mangsa sebenar adalah Yurina Castillo Torres iaitu bekas teman wanita Gamboa yang kelihatan sama seperti Claudia.

Walaupun bertegas dia seorang ibu penyayang, Claudia hanya membuang masa terhadap kesilapan yang menaikkan namanya sehingga terkenal melalui laman Internet dengan dihujani gambar yang menunjukkan kekejamannya.

Apabila muncul berita dia bakal berkuasa, dengan pantas Claudia memadam seberapa banyak bukti yang mengaitkannya dengan Loas Antrax.

Sebaliknya, dia membuka akaun laman Facebook (FB) baru dan mendakwa dia berbuat demikian kerana: “Bagi menjelaskan semua keraguan serta menjawab soalan anda... satu-satunya perkara yang saya minta ialah penghormatan daripada anda.”

Antara yang dipaparkannya ialah gambarnya sebagai seorang ibu penyayang yang menumpukan perhatian kepada dua anak lelaki dan anak perempuan.

Beberapa imej pada masa lalu bagaimanapun masih kekal di Internet seperti gambar AK-47 yang diletakkan di atas kerusi kulit merah BMW 3 Siri, simbol tengkorak Los Antrax yang dilukis warna hitam pada klip peluru dan seorang anak lelakinya berbaring di atas katil yang ditaburi wang tunai.

Dia dilihat bergambar dengan ahli muzik rakyat yang setia pada Los ¡ntrax. Dalam satu gambar, wanita itu turut dilihat memegang pelancar bom tangan sambil memberi amaran: “Berhati-hati dengan langkah anda, kawan!”

Claudia juga banyak kelihatan dalam imej yang dimuat naik ahli muda Sinaloa. Sumber perisikan berkata: “Claudia mendakwa dia hanyalah seorang ibu biasa, tetapi berapa ramai pula ibu ada senjata ditempah khas?

“Dia mempunyai akses kepada kekayaan astronomi, tapi sehari pun tak pernah bekerja atau datang daripada keluarga kaya. Malah, bekas teman lelakinya bukan golongan yang berwang.”

Bapa kepada tiga anaknya, Leftenan El Chavo Felix sangat digeruni kartel dadah. Bagaimanapun, mereka berpisah dan Claudia berpasangan dengan seorang lagi ahli geng Dorian Trinidad, Leon Angulo. Leon maut di dalam kereta dalam kemalangan tidak lama selepas melarikan diri dari penjara pada 2011 sementara Claudia duduk di sisinya.

Claudia terselamat dan sekali lagi menemui cinta baru yang juga ahli kartel itu, El Chino dan dilaporkan akan berkahwin dengannya.

‘Playboy’ itu rakan kepada pemimpin teratas kartel berkenaan. Peranan utamanya menyelia skuadron bersenjata dan melindungi pegawai tertinggi Sinaloa, termasuk pemimpin kartel, El Chapo (Shorty) Guzman yang kini dalam tahanan di Mexico.

Seperti Claudia, El Chino sukakan media sosial. Twitter dan Instagramnya dipenuhi gambar sukan kereta haramnya, kapal layar dan senjata. Jika berjauhan dari Internet bererti dia sibuk bagi memastikan kartel Sinaloa kekal sebagai geng paling berkuasa di dunia.

Perang berdarah antara kumpulan dadah yang mengamuk di Mexico sejak 2006 sudah meragut 100,000 nyawa. Sesiapa saja yang mengancam untuk memintas ‘jalan’ Sinaloa akan segera dibunuh. El Chino dituduh secara peribadi bertanggungjawab terhadap kebanyakan kes bunuh termasuk pembunuhan tiga lelaki yang digantung di jambatan pada 2011.

Pembunuhan itu bagi membalas dendam selepas pemimpin Sinaloa dibunuh dalam pertempuran dengan pesaingnya, kartel Beltran Leyva.

Kebanyakan mangsa menjalani hukuman peng­gal kepala menggunakan gergaji rantai.

Beberapa lagu rakyat dikenali sebagai ‘narcocor­ridos’ menyebut El Chino Antrax sebagai lelaki yang elegan, sesuai dengan cita rasa kehidupan tinggi serta keganasan melampaunya. Nama samarannya, El Chino, dikatakan kerana dia kelihatan seperti orang Cina dan seolah-olah berdarah Cina.

Dalam Twitter dan Instagram, dia sering mengaburkan wajahnya sambil memegang senjata automatik dan bergambar dengan gadis yang hampir tidak berpakaian.

Gambar lain menunjukkan asetnya seperti kereta, bot, helikopter dan barang kemas. Dia turut bergambar bersama Paris Hilton.

Menurut laporan, dia melakukan ‘foto-bom’ ke atas sosialit Amerika itu sewaktu Paris Hilton diwawancara stesen televisyen. Justeru, pihak berkuasa Amerika menggunakan ketagihan El Chino terhadap laman web untuk membina kes terhadapnya sebelum dia ditahan di Amsterdam.

Tidak lama kemudian, mahkamah Belanda meluluskan ekstradisi El Chino ke Amerika Syarikat kerana dia dikehendaki atas tuduhan dadah.

Amerika Syarikat segera merampas harta kekayaannya yang ditonjolkan di Internet. Disebabkan mahu mengekalkan kekuasaannya, El Chino memastikan teman wanitanya menggantikan tempatnya.

Claudia menafikan sekeras-kerasnya dia mengambil alih tampuk kuasa itu, tetapi dia tetap menjadi sasaran pesaing. Buktinya, lelaki bersenjata menangkap Castillo Torres sewaktu meninggalkan gimnasium kerana mempercayai wanita itu adalah Claudia. Castillo diseksa, digantung dan mayatnya dibuang di belakang sekolah.

Berita ‘pelantikan’ Claudia membawa kepada aktiviti kegilaannya di laman sosial. Dia tidak perlu mengambil masa lama untuk mengumpulkan lebih daripada 100,000 pengikut.

Walaupun ramai yang berusaha membunuhnya, Claudia enggan menghentikan gaya hidupnya dan sering kelihatan di kelab Mazatlan, Culiacan dan Guadalajara.

Bagaimanapun, selepas kejadian menimpa Castillo, dia kini sentiasa dikelilingi lelaki bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 11:54 AM