KHEMAH tradisional Mesir dalam bentuk sebenar dipertontonkan kepada umum.
LALUAN Pembuat Khemah atau Sharia Khayamiya menempatkan pembuat dan penjual khayamiya di Kaherah.
LUKISAN bertajuk Unwilling Evidence oleh Walter Charles Horsley sewaktu bertugas sebagai pegawai tenteradi Kaherah, memperlihatkan penggunaan khayamiya sekitar 1882.
PANEL Suradeq diperbuat daripada kain kapas sekitar 1970 hingga 2000.
KHAYAMIYA sutera ini menunjukkan peralihan daripada tekstil seni bina abad ke-19 kepada karya abad ke-20.
KEBANYAKAN pembuat khemah adalah lelaki yang mewarisi seni tampal jahit secara turun-temurun.
Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Jika pernah mengembara ke Asia Barat terutama di Mesir, anda pasti berpeluang melihat keunikan khemah yang sering digunakan sebagai tempat berlin­dung atau menjadi perhiasan di dinding kedai dan bangunan.

Berbeza dengan khemah di negara lain, seni pembuatan khemah tradisi Mesir atau ‘khayamiya’ cukup sinonim dalam kalangan pembuat khemah yang masih mengekalkan pekerjaan itu secara turun temurun.

Penghasilan kerja tangan khayamiya menerusi teknik tampal hias sama seperti yang terdapat pada khemah dan panel tekstil indah sudah wujud sejak zaman Khudaiwi (1867-1914) dan dimajukan sejak berkurun lalu di Mesir.

Kurator dari University Charles Sturt, Australia, Dr Sam Bowker yang berasal dari Mesir berkata, seni khayamiya berubah mengikut keadaan di kota Kaherah yang dibarisi dengan batu-bata, konkrit, pasir dan debu.

“Pembuatan khemah juga berubah dari segi warna dan bentuk mengikut peredaran masa.

“Tekstil pelbagai corak dan warna digunakan sewaktu majlis dan keraian di Mesir seperti perkahwinan, pengebumian, jamuan di jalanan dan upacara keagamaan termasuk Hari Keputeraan Rasulullah SAW serta menyambut Ramadan.

“Khayamiya memiliki nilai tinggi dalam masyarakat Mesir, namun kemajuan teknologi memberi kesan terhadap jumlah pembuat khemah tradisional itu yang masih berbaki di Kaherah,” katanya yang juga penulis buku ‘Khayamiya: Seni Pembuatan Khemah Mesir’ yang bakal diterbitkan tahun depan.

Tekstil yang mencuri tumpuan itu kini boleh disaksikan di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) di ibu kota bagi membolehkan orang ramai meneroka perubahan pembuatan seni khayamiya dari zaman penghujung Empayar Uthmaniah sehingga kini.

Pameran ini menampilkan khayamiya sebagai bentuk seni yang sofistikated, memiliki pengaruh seni reka Islam, bercirikan perusahaan dan mampu bersaing dengan khemah moden.

Dr Sam berharap dapat mengetengahkan seni khayamiya sebagai satu pengkajian baru dalam bidang kesenian Islam, sekaligus mampu diperturunkan kepada generasi muda bagi menggalakkan kelangsungan seni tradisional itu.

Khayamiya

Pemerintahan Khudaiwi dari tahun 1867 hingga 1914 menjadikan Mesir sebagai negara di bawah naungan Empayar Uthmaniah.

Khayamiya terawal yang didokumentasikan dalam bentuk gambar dan lukisan berasal dari zaman Khudaiwi.

Justeru, nama Khudaiwi merujuk kepada khemah Mesir berhias yang pertama serta dikaitkan dengan kerja sulam tampal yang diusahakan pembuat khemah.

Kaligrafi pada khayamiya Khudaiwi menunjukkan kekayaan sumber kesusasteraan Mesir yang kebiasaannya ditulis dengan gaya kaligrafi Thuluth.

Sesetengah daripada kaligrafi ini mengandungi dedikasi kepada pemilik khayamiya atau sebagai sanjungan ke atas seni Mesir.

Ada pelbagai mesej melalui tulisan kaligrafi seperti mana kepelbagaian material tekstil khayamiya itu sendiri. Penulisan itu berkemungkinan berbentuk potongan ayat ataupun bait puisi.

Kaligrafi itu juga mampu memberi gambaran mengenai fungsi asas tekstil khayamiya yang digunakan sebagai hiasan pintu, kanopi dan hiasan pada dinding.

Walaupun khayamiya makin jarang dapat dilihat di Mesir ketika ini, khayamiya Khudaiwi terus wujud di luar Mesir.

Lebih satu abad dulu, pelancong yang berkemampuan membawa pulang khayamiya ke negara asal untuk ditempatkan di ladang di Alaska, estet di United Kingdom selain digunakan sewaktu majlis perkahwinan di pedalaman Australia.

Kini hanya ada beberapa koleksi lama khemah Khudaiwi yang sempurna dan lengkap.

Khayamiya Khudaiwi kebiasaannya dihiasi dengan corak beralun di sepanjang bahagian atas bagi setiap panel.

Pembuat khemah Kaherah menggelarkan bentuk ini sebagai ‘aroussa’ iaitu perkataan Arab yang bermaksud pengantin.

Aroussa mempunyai dua asal-usul. Pertama, menyerupai barisan lekukan yang menunjangi permukaan masjid lama di Mesir. Corak binaan ini sama ada diambil daripada struktur bangunan batu atau khemah kanvas yang mampu menghasilkan latar langit indah.

Kedua, aroussa menyerupai barisan anak patung yang diperbuat daripada gula dan lipatan kertas. Anak patung itu kebanyakannya dihasilkan untuk kanak-kanak sempena sambutan Ramadan di Mesir.

Ia sebahagian daripada budaya popular sejak Dinasti Tulunid dan Fatimiah sekitar ribuan tahun dahulu.

“Khayamiya dari Mesir menggunakan bentuk jahitan susup tampal hias dengan hanya menggunakan jarum, benang, gelung pelindung jari serta gunting bersaiz besar.

“Pembuat khemah mengambil masa bertahun-tahun bagi meningkatkan kemahiran masing-masing yang dipelajari dan diturunkan daripada ibu bapa.

“Kemahiran ini membolehkan mereka menghasilkan khayamiya dengan pantas dengan ketepatan yang menakjubkan,” kata Dr Sam.

Mereka yang terbaik dalam kalangan pembuat khemah dikenali sebagai ‘Osta’ iaitu gelaran terhormat yang digunakan dalam kelompok artis sewaktu Empayar Uthmaniah.

Kebanyakan pembuat khemah di Mesir terdiri daripada golongan lelaki. Mereka akan duduk bersila sambil bersandar ketika menghasilkan khemah.

Bagi memulakan pembuatan khayamiya, rekaan yang bakal diterapkan pada bahagian khayamiya dilukis di atas sekeping kertas berlipat.

Kertas berlipat ini kemudian ditebuk dengan jarum pada garis bentuk rekaan dan hasilnya rekaan lengkap diperoleh apabila lipatan kertas dibuka. Kertas itu kemudian diletakkan di atas fabrik khayamiya dan ditaburkan dengan kapur atau serbuk karbon. Dengan ini, ia akan meninggalkan kesan titik yang teratur di permukaan fabrik. Kesan titik ini kemudian diterangkan lagi menggunakan pensel dan perca kain kapas tampal hias boleh dijahit di atas bahagian fabrik itu.

Ketika proses jahitan tampal hias, perca kain kapas yang berlebihan akan dilipat ke bahagian dalam mengikut rekaan pada permukaan fabrik khayamiya.

Pembuat khemah menilai hasil rekaan khayamiya melalui kerumitan dan penggunaan imaginasi pada warna. Sebab itu, setiap rekaan baru adalah rahsia yang perlu dijaga dengan rapi.

Rekaan yang terdahulu dinilai melalui nama khayamiya dan adakalanya dinamakan mengikut nama pembuat khemah itu.

Menurut Dr Sam, seni khayamiya sudah melalui pelbagai perubahan bagi meneruskan legasinya.

“Pembuat khemah di Kaherah kini jarang menghasilkan khemah bersaiz besar, sebaliknya menyiapkan kerja seni itu sebagai perhiasan di dalam rumah.

“Pelancong asing sudah meminati seni pembuatan khemah ini sejak 1890-an, malah ketika Perang Dunia Pertama dan Kedua, kebanyakan askar dan jururawat mengumpulkan khayamiya sebagai cenderamata.

“Bagi menghasilkan kerja tangan yang mampu menarik peminat masa kini, pembuat khemah mencipta khemah bersaiz kecil, berwarna cerah serta menggunakan rekaan bermotifkan Mesir kuno yang dijahit dengan teliti.

“Khayamiya kontemporari menjadi bukti kelangsungan serta perkembangan berterusan sesebuah bentuk kesenian kuno yang menggabungkan tradisi dengan inovasi bagi menghasilkan arah baru yang lebih mencabar.

“Masa depan khayamiya bergantung kepada kemampuannya menarik minat orang ramai dan keupayaannya memberi inspirasi kepada generasi baru untuk mempelajari seni bermutu tinggi ini,” katanya.

Di Mesir terdapat satu laluan yang dipanggil Laluan Pembuat Khemah yang juga dikenali Sharia Khayamiya atau Khan Khayamiya. Ia bukti jelas kewujudan tinggalan warisan seni bina, sosial dan kesenian Kaherah.

Laluan ini terletak di bahagian selatan menara Bab Zweylah (Gerbang Selatan) yang tersergam megah di tengah kota Kaherah yang juga sebahagian daripada Laluan Muiz lama.

Lorong berbumbung di laluan ini menempatkan 40 kedai yang suatu ketika dulu digunakan sebagai kediaman atau bengkel.

Sharia Khayamiya yang terletak di tengah-tengah kota Kaherah satu-satunya laluan atau lorong berbumbung yang masih mengekalkan rupa asalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 11:59 AM