Kemalangan yang mengorbankan seorang wanita. FOTO Rosli Ilham
Oleh Rosli Ilham


Dungun: Wanita maut selepas pacuan empat roda Toyota Hilux dipandunya bertembung Ford Ranger dari arah bertentangan dalam kejadian di Kilometer 90 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan berhampiran Kampung Air Hitam, Bukit Bauk, Dungun, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, mangsa Nor Sham Md Saad, 37, dari Kampung Molek Dungun mengalami kecederaan dalaman dan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Dungun.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang juga pengusaha kantin di sebuah syarikat petrokimia di Kerteh, dalam perjalanan ke Paka untuk mengambil anaknya.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaakub berkata, kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan Ford Ranger dipandu Mohd Alin Yaomar, 24, dari Durian Mentangau, di sini.

"Mohd Alin, seorang mekanik, patah bahu kanan dan luka di tangan serta kaki sebelum dihantar ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 7:13 PM