KPCC akhirnya dapat beraksi pada MTB hujung bulan ini.
Oleh Norfaisal Jahuri

Jasin: Selepas gagal menyertai tiga sirkit akhirnya Kota Puteri Cycling Club (KPCC) tampil membariskan empat peserta memberi saingan sengit pada Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Asahan hujung bulan ini.

Setiausaha KPCC Mohd Aminuddin Jusoh berkata, pertembungan dengan acara MTB lain menyebabkan kelab itu terlepas menyertai kejohanan ini.

“Memang kami mahu sertai kejohanan MTB ini, tetapi kerana banyak pertembungan menyebabkan kami terpaksa menangguhkannya tetapi tidak kali ini.

“Kami sudah ‘lock’ (kunci) tarikh itu semata-mata untuk ke Asahan,” katanya.

Aminuddin berkata, penyertaan KPCC bukan untuk mengejar ranking semata-mata, tetapi lebih kepada mendapat kenalan dan pengalaman baru dengan menguji trek mencabar disediakan penganjur selain belajar cara pengurusan kejohanan.

Katanya, mustahil untuk mendapat kedudukan podium dan ranking kelompok 50 teratas, tetapi KPCC tetap meletakkan harapan merebut kedudukan 100 terbaik.

“Penyertaan ini juga menguji prestasi kami bersaing dengan pelumba lebih berpengalaman seluruh negara. Kami juga dapat menilai kemampuan pelumba sendiri,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:08 AM