Kakitangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membantu peminjam di kaunter PTPTN Perak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh. - Foto NSTP (Fail)

Putrajaya: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan berhenti mengutip bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui kaedah potongan gaji mulai 1 November ini.

Kenyataan LHDN hari ini menyebut semua majikan yang membuat potongan gaji pekerja bagi bayaran balik pinjaman hendaklah mengemukakan bayaran terus kepada PTPTN.

"Kerajaan memutuskan mulai 1 November 2015, LHDN tidak lagi bertindak sebagai ejen kutipan bayaran balik pinjaman PTPTN," menurut kenyataan

itu.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan mengenai bayaran balik pinjaman PTPTN melalui kaedah potongan gaji boleh berhubung terus dengan PTPTN di talian 03-20986484/7336/6462.

Ketika ini jumlah keseluruhan peminjam PTPTN ialah 2.37 juta orang membabitkan jumlah pinjaman RM53.7 bilion manakala 607,842 pula peminjam tegar dengan jumlah pinjaman RM4.9 bilion. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 8:57 PM