Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpendapat tiada keperluan untuk peguam Mike Morgan datang ke Malaysia sekarang walaupun pendengaran kes doping Datuk Lee Chong Wei semakin hampir.

Menteri Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana peguam sukan terkemuka itu sentiasa berhubung dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memperoleh serta mengumpul maklumat untuk pembelaan kes berkenaan.

“Saya difahamkan semua maklumat diperlukan Morgan dikumpulkan pihak BAM dan Institut Sukan Negara (ISN),” katanya mengulas kemungkinan pengasas firma guaman Morgan Sports Law LLP berpangkalan di London itu akan datang ke Malaysia untuk bertemu BAM.

Khairy sebelum ini mengumumkan pelantikan Morgan bagi membantu jaguh badminton negara itu berdepan panel pendengaran doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Chong Wei kini digantung sementara oleh BWF selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang dexamenthasone pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lalu.

Dalam pada itu, beliau meminta Unit Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS) supaya meningkatkan lagi bilangan atlet yang disaring sebelum sesuatu kejohanan besar berlangsung bagi mengelak risiko gagal ujian doping berulang.

Beliau berkata, saringan secara rawak terhadap atlet sukan berisiko tinggi memang dilakukan sebelum ini, contohnya hampir 30 peratus daripada atlet yang menyertai Sukan Komanwel dan Sukan Asia Julai dan September lalu melalui ujian itu.

“Memang tidak ada negara buat saringan 100 peratus kepada atlet mereka, cuma selepas apa yang berlaku, saya rasa kita perlu tambah sampel yang diuji dan perkara ini sudah saya sampaikan kepada ADAMAS,” katanya.

Mengenai harapan peminat sukan bahawa skuad bola sepak kebangsaan perlu memenangi iala AFF 2014 sebagai menutup cerita duka arena sukan negara tahun ini, Khairy berkata, ia tidak adil untuk berkata demikian. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:10 AM