TAKEKAWA (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada pasukan Eco Photon UiTM.

Sebagai menyumbang kepada inovasi dan teknologi mesra alam, pengeluar tayar terkemuka, Bridgestone Corporation meneruskan sokongan tajaan kepada acara Cabaran Solar Dunia 2015 (WSC 2015) yang diadakan di Australia, baru-baru ini

Bridgestone meneruskan pembabitan untuk tahun kedua dalam WSC 2015 sebagai acara perlumbaan kereta berkuasa suria yang memasuki penganjuran edisi ke-13, sekali gus menjadi platform terbaik dalam usaha berterusan perkembangan teknologi terkini.

Seiring dengan komitmen itu, Bridgestone Tyre Sales (M) Sdn Bhd menyediakan tajaan tayar kepada pasukan Eco Photon daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Penyertaan seramai 26 petugas yang membawa cabaran negara dengan mempertaruhkan kereta solar dinamakan Stingray untuk aksi sulung penyertaan kategori elit ‘Challenger Class’.

Pasukan itu mempunyai matlamat menamatkan siri perlumbaan dari Darwin ke Adelaide membabitkan jarak 3,000 kilometer, dengan catatan masa paling singkat. Kereta rekaan mereka akan menggunakan tayar Ecopia yang direka khas mengurangkan impak pada alam sekitar serta jimat bahan api.

Majlis penyampaian tajaan itu disampaikan oleh Pengarah Urusan Bridgestone Malaysia, Jo Takekawa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:02 AM